Tuesday, March 31, 2009

Cucu Pertama Selamat Dilahirkan

Alhamdulillah cucu pertama saya selamat di lahirkan di Pusat Rawatan Islam Ar-Ridzuan, Ipoh tepat jam 4.56 petang. Bayi perempuan seberat 3.1 Kilogram berada dalam keadaan sihat begitu juga ibunya.


Monday, March 30, 2009

Hari Penamaan Calon PRK Bukit Gantang


Selepas diumumkan oleh pimpinan PAS Pusat suami akan bertanding di Bukit Gantang saya berkesempatan beberapa hari turut serta bersama suami bertemu dengan pengundi-pengundi di beberapa kawasan di Bukit Gantang. Alhamdulillah dari pandangan saya mood pengundi-pengundi lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat. Ini terbukti dengan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang berganda lagi banyak dari penyokong Barisan Nasional. Sokongan moral yang cukup hebat dan ajaib ini tidak boleh dinafikan oleh pihak lawan walaupun pelbagai usaha dilakukan supaya bilangan penyokong dihadkan.

Alhamdulillah proses penamaan calon berjalan lancar. Setelah diumumkan, suami akan bertanding menentang Ismail Safian dari Barisan Nasional dan seorang lagi calon bebas Kamarul Ramizu. Saya yang turut berada di pusat penamaan calon mengambil masa lebih kurang 3 jam sebelum keputusan diumumkan.

Saya dan suami dibawa keluar dari Pusat Penamaan Calon sekitar jam 12.00 dengan kawalan ketat dari Petugas Keselamatan memandangkan keadaan terlalu sesak dengan penyokong Pakatan Rakyat berasak untuk bersalam dengan suami.

Sebelah petangnya, saya dan anak-anak berangkat pulang ke Ipoh kerana esoknya hari persekolahan. Keadaan dilebuhraya terlalu sesak menyebabkan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sejam tetapi memakan masa hampir 3 jam untuk tiba di rumah.

InsyaAllah dalam masa terdekat saya akan turut bersama suami berkempen di Bukit Gantang dan saya berharap rakyat bijak membuat penilaian dan memilih calon yang dapat membela nasib rakyat Perak khususnya di Bukit Gantang. Saya menyeru kepada semua pengundi-pengundi yang berdaftar di P059 Bukit Gantang yang berada di luar kawasan tersebut agar dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab.

Tuesday, March 24, 2009

Suami Dicalonkan Untuk P059

Sudah hampir sebulan lebih saya tidak berkesempatan untuk meluangkan mase menulis disini memandangkan memakan masa untuk masuk talian telefon dan internet, juga kekangan-kekangan saya dalam mengemas rumah. Mungkin ramai yang ternanti-nanti perkembangan terkini.


Alhamdulillah selepas kami sekeluarga keluar dari kediaman rasmi bulan lepas hingga sekarang saya amat sibuk dengan keadaan rumah baru. Setakat ini hampir 60 peratus siap dikemas. Tak dapat nak menumpukan sepenuh masa dengan mengemas memandangkan banyak program-program yang diatur saya perlu bersama suami terutama menghadiri jemputan kenduri di hujung minggu. Banyak juga berita program-program yang saya hadiri tidak sempat untuk saya cerita dan coretkan di sini.


Semalam telah diumumkan suami akan dicalonkan untuk bertanding di Bukit Gantang. Terkejut dengn berita, saya redha dan terima segala keputusan memandangkan mungkin ini satu ujian dan amanah dari Allah untuk suami dan kami sekeluarga.


Saya terpaksa membahagikan masa dengan sebaiknya untuk sama-sama turun berkempen bersama suami. Keadaan rumah yang masih berselerak terpaksa saya tinggalkan sementara sehingga tamat tempoh waktu berkempen. Anak sulung saya pula sedang sarat menunggu hari.

InsyaAllah saya akan terus menulis perkembangn terkini dan mengharapkan sokongan dan doa dari semua supaya saya dan suami sekeluarga tabah dan kuat dalam mengharungi mehnah perjuangan. Terutama kalam-kalam fitnah dan maki hamun tanpa asas dari musuh-musuh perjuangan Islam.