Friday, October 31, 2008

Persatuan Wanita Perak untuk Wanita


Satu majlis makan malam telah dianjurkan oleh Persatuan Wanita Perak untuk Wanita (Perak Women For Women Society) atau singkatannya PWW bagi mengutip dana persatuan berkenaan. Majlis tersebut telah diadakan di Hotel Syuen dan pelancaran majlis telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak sendiri.

PWW merupakan NGO yang ditubuhkan untuk melindungi hak wanita, membela nasib wanita yang teraniaya dan berusaha untuk memajukan lagi golongan wanita. Persatuan ini digerak kan oleh kumpulan sukalerawan dan telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu golongan wanita dan aktiviti-aktiviti untuk menjana kewangan persatuan.

Persatuan ini boleh dihubungi melalui emel mereka :
perakwomenforwomen@gmail.com.


MB Perak di Trolak

Menyampaikan Tazkirah Maghrib di Masjid Trolak Selatan

Semalam suami telah menghadiri Jamuan Aidilfitri bersama peneroka di Dewan Besar Felda Trolak Timur yang bermula pada jam 9.30 malam. Tetamu kehormat yang turut hadir bersama di dalam majlis tersebut ialah Y.B Jamaluddin ADUN Behrang, Pegawai Daerah Batang Padang En. Damiri, Pengurus Felda Trolak En. Abdullah, Penyelia DUN Slim Ustaz Termizi Abd Rahman, YDP Pas Slim Ustaz Zulqarnain dan lain-lain.

Jamuan Aidilfitri yang diadakan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Slim.

Sebelum Jamuan Aidilfitri di Trolak Timur, suami telah menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Trolak Selatan dan diadakan majlis bacaan yassin dan doa selamat untuk bakal-bakal haji di kawasan Felda Trolak.

Jamuan Aidilfitri di Felda Trolak Timur

Thursday, October 30, 2008

Sumbangan untuk 180 keluarga mangsa banjir di Kampung Gajah

Di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kampung Gajah

Dengan izin Allah pagi tadi saya telah berkunjung ke Kampung Gajah untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di daerah tersebut. Saya tiba di Pejabat Daerah & Tanah Kampung Gajah sekitar jam 9.45 pagi dan diadakan sedikit taklimat ringkas mengenai banjir di Kg. Gajah.

Pegawai yang turut hadir bersama ialah Puan Ramdhatun Ajma selaku Penolong Pegawai Daerah, En. Norshamsul Mustafa Kamal- Pegawai Unit PLB Kg. Gajah, penghulu-penghulu mukim, Tuan Penyelia DUN Ustaz Mustafa Shaari, Ketua Muslimat Kawasan Puan Jamaliah Sudin, AJK Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat, Ketua-ketua Kampung dan JKKK serta petugas Pusat Khidmat Masyarakat.

180 keluarga dari 5 buah kampung telah diberikan sumbangan barangan dapur bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka. Kampung-kampung yang terlibat ialah Kg. Pulau Juar, Kg. Biak, Kg. Pasir Jeneris, Kg. Kota dan Kg. Empai. Bantuan telah disalurkan di Dewan Orang Ramai.

Saya dan rombongan telah dibawa melihat keadaan banjir selepas majlis penyerahan sumbangan. Keadaan banjir bertambah surut dan saya mengharapkan lebih ramai pihak yang berkemampuan membantu saudara-saudara kita dalam kesusahan.



Majlis Perasmian Surau Al-Muhajirin, Bandar Meru Raya

Majlis Perasmian Surau Al-Muhajirin, Halaman Meru Permai, Bandar Meru Raya, Ipoh telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak pada hari Rabu 29 Oktober 2008.


Gambar-gambar sekitar Majlis Perasmian

Wednesday, October 29, 2008

Rakan-rakan Syadeed Beraya di Kediaman

Bergambar bersama rakan-rakan Syadeed

Petang tadi saya menerima tetamu di kediaman iaitu kawan-kawan anak saya Syadeed dari tingkatan 3 Sekolah Menengah Hidayah, Rapat Setia. Mereka telah lama nak datang beraya di kediaman namun disebabkan kekangan masa dan jadual program yang penuh terpaksa ditangguh sehari ke sehari.

Hari ini tiada aktiviti di luar kediaman saya memberitahu Syadeed untuk menjemput semua kawan-kawannya untuk beraya di rumah. Kuih Raya masih banyak dan saya telah memasak menu special iaitu Mee Hailam untuk mereka semua. Syadeed dan rakan-rakannya baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan sekarang mereka banyak 'berehat' sementara menunggu cuti hujung tahun dan keputusan peperiksaan.

Hadiah buat anak di perantauan

Isnin 28 Oktober (Selasa)
Pagi ini suami menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India di Pejabat Menteri Besar dan waktu tengahari diadakan Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Aidilfitri Bangunan Perak Darul Ridzuan di Dewan Banquet SUK. Aktiviti saya di rumah pagi ini saya luangkan masa membungkus barang-barang dapur dan kuih raya ke dalam kotak khidmat penghantaran barang DHL untuk saya kirimkan buat anak saya Syaheed di Jordan dan Syaakirin di Syria. Jam 2.00 petang anak sulung saya Faatihah dan menantu Hazimin telah pergi ke Pejabat DHL Ipoh di Silibin untuk menguruskan penghantaran kotak. InsyaAllah barang akan sampai dalam tempoh 4 hari waktu kerja.

Mohammad Syaheed anak kedua saya kini sedang menuntut di Universiti Mu'tah, Jordan di dalam bidang Feqah manakala anak ketiga saya Mohammad Syaakirin sedang menuntut di Universiti Auza'i, Lubnan cawangan Damascus juga di dalam bidang Feqah. Semoga mereka bergembira dengan kiriman dan buah tangan dari Malaysia yang tidak pernah saya kirim sepanjang mereka belajar di sana.

Tengahari saya ke dapur menyiapkan makan tengahari dan malam untuk anak-anak. Sebelah malam saya dan suami menghadiri Majlis Aidilfitri anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Perak yang diadakan di Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung di Jalan Ali Pitchay, Ipoh. Antara yang hadir di dalam majlis tersebut ialah Ustaz Azli Musa selaku Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Y.B Zainuddin, Y.B Ramli Tusin, Y.b Idham Lim pimpinan PKR dan DAP serta lain-lain. Suami turut menyampaikan ucapan sebelum jamuan makan.

Selepas makan malam di majlis tersebut, saya dan suami meluangkan masa menziarahi anak saudara suami di Pusat Perubatan Ar-Ridzuan yang baru menimang cahayamata kelima.

Kotak-kotak berisi barang dapur dan kuih raya untuk anak saya yang kini sedang menuntut di Jordan & Syria


Suami menyampaikan ucapan di Jamuan Aidilfitri anjuran
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

Bersama Ajk Dewan Muslimat Negeri Perak

Suami menjamu selera di meja utama bersama pimpinan-pimpinan


Menziarahi cucu saudara baru iaitu anak kelima kepada pasangan Haliza & Riduan. Haliza merupakan anak ketiga arwah abang sulung suami iaitu Khalil Shah yang pernah menjawat jawatan Ketua Keadilan Negeri Perak


Tuesday, October 28, 2008

Catatan Bergambar di Pakistan


Alhamdulillah semalam suami selamat tiba di Ipoh tepat jam 4.00 petang dalam keadaan sihat seperti biasa. Beliau bertolak dari Lapangan Terbang Allama Iqbal, Lahore dan tiba di KLIA jam 1.00 petang dengan disambut oleh Pegawai Khas dan pemandu.

Suami melahirkan rasa gembiranya ketika berada di Pakistan kerana dapat bertemu dengan ramai pemimpin Islam dan para Ulama' dari seluruh dunia. Berada di Muktamar Jamaat Islami (JI) di Lahore suami turut menceritakan rasa takjub dengan himpunan pendokong JI di Pakistan berjumlah hampir setengah juta. Ijtima' JI tidak diadakan di dalam dewan yang selesa tetapi di padang luas bersebelahan minar-e-pakistan.

Semalam suami menunjukkan gambar-gambar ketika beliau di Pakistan dan menceritakan kepada saya dan anak-anak untuk saya masukkan ke dalam entry kali ini.


Bersama Syeikh Dr. Hammam Saeed Ketua Ikhwan Muslimin Jordan.
Syeikh Hammam Said turut menghadiri Muktamar PAS di Ipoh. Dr. Hammam terkenal di Jordan dengan khutbahnya yang lantang dan beliau merupakan bekas pensyarah di University Of Jordan dan kini aktif dalam pergerakan Ikhwan di Jordan.


Berbual dengan Datuk Bandar (City Nazim) Lahore, Mian Amer Mahmood ketika majlis makan yang dianjurkan oleh beliau untuk semua delegasi asing yang hadir untuk Ijtima' JI


Suasana di pintu masuk kawasan Ijtima' berdekatan Minar-e-Pakistan, Lahore. Terbayang petugas-petugas Islam di Pakistan yang bekerja keras untuk menganjurkan program sebesar ini yang sudah pastinya menuntut kepada jumlah tenaga kerja yang begitu ramai.


Minar-e-Pakistan di Iqbal Park, Lahore
Menara setinggi 203 kaki ini meninggalkan sejarah berlakunya Deklarasi Kemerdekaan India dan Resolusi Pakistan (juga disebut Resolusi Lahore). Di kawasan inilah ijtima' JI diadakan. Di atas menara ini telah dipasang pembesar suara yang membolehkan semua ucapan-ucapan didengari oleh ratusan ribu tetamu. Di menara ini juga telah dipasang bendera Jamaat Islami untuk Ijtima' baru-baru ini


Suami berbual sesuatu dengan Syeikh Qazi Al-Hussain- Amir Jamaat Islami Pakistan. Seorang yang sangat kental dengan perjuangan dan amat dihormati oleh semua pendokong JI Pakistan malah diseluruh dunia. Beliau penah diharamkan masuk ke 25 negara Eropah dan beberapa negara lain kononnya beliau berbahaya dengan penonjolan menentang musuh-musuh Islam.


Berjubah coklat sebelah suami ialah Syeikh Mohammad Siyam bekas Imam Masjid Aqsa, Palestin. Beliau kini menetap di Yaman di atas faktor keselamatan.


Lebih 200 delegasi asing telah hadir ke Ijtima' JI untuk mendengar ucapan Syeikh Qazi Hussain selaku Amir JI Pakistan dan wakil-wakil gerakan Islam dari seluruh dunia berpidato mengenai isu-isu Islam dari negara masing-masing dan global


Suami bersedia untuk memberi ucapan mewakili gerakan Islam di Malaysia iaitu dari Parti PAS SeMalaysia. Suami menyampaikan ucapan di dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan oleh wakil JI di dalam Bahasa Urdu

Bersama pemimpin Gerakan Islam Afghanistan.

Suasana Ijtima' JI.
Begitu hebat semangat gerakan Islam di sana yang sepatutnya dicontohi oleh semua umat Islam di Malaysia. Hidup & Mati demi agama Allah.

Suami bersama pimpinan-pimpinan JI dan tetamu-tetamu jemputan dari pergerakan Islam seluruh dunia.


Bersalaman dengan Sheikh Rashed Al-Ghannoshi Ketua Pergerakan Islam Tunisia yang kini berada dalam buangan di United Kingdom. Turut kelihatan Ustaz Misbah selaku Setiausaha Politik MB Perak dan Haji Ismail Ketua Keadilan Perak yang turut mewakili Parti Keadilan Rakyat Malaysia di Ijtima' JI


Suasana di bandar Lahore yang dihuni oleh 6.31 Juta penduduk

Maryam atau Yvonne Ridley bercerita tentang pengalamannya sebagai Journalist yang pernah dipenjara oleh Taliban di Afghanistan dan diberi layanan yang baik sehingga beliau berubah untuk memeluk agama Islam. Beliau membandingkan keadaan tahanan wanita Islam di Guantanamo Bay yang tidak diberi layanan yang baik berbeza dengan apa yang Islam lakukan terhadap tahanan wanita di Afghanistan.


Sheikh Qazi Hussain bersalaman dengan Muhammad Shehbaz Sharif (Ketua Menteri Punjab) sambil diperhatikan oleh suami ketika Majlis Makan Malam yang dianjurkan oleh Shehbaz Sharif. Shehbaz merupakan adik kepada Nawaz Sharif bekas Perdana Menteri Pakistan


Suami telah diberi penghormatan sekali lagi berucap mewakili semua delegasi asing ketika majlis makan malam anjuran Ketua Menteri Punjab



Monday, October 27, 2008

Majlis Ihtifal Tadika Islam Perak


Majlis Ihtifal Tadika Islam Perak telah diadakan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) tengahari tadi. Saya diberi amanah untuk merasmikan majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIPK, Tuan Haji Mohamed Nasar Kurdi sebagai dif kehormat.

Pihak pengurusan Tadika Islam Perak telah menganjurkan beberapa pertandingan seperti sajak, nasyid, bercerita Inggeris & Bahasa Melayu dan lain-lain. Anak-anak yang berjaya telah diberikan hadiah & saguhati di atas usaha mereka.


Saya menyeru di dalam ucapan agar ibu bapa dapat mendidik anak-anak dengan didikan agama sejak mereka masih kecil. Kebanyakan ibu bapa berasa bimbang jika anak mereka masuk sekolah tetapi tidak boleh membaca, menulis ataupun mengira. Tetapi jarang bimbang jika anak-anak masuk sekolah tetapi tidak boleh membaca Al-Quran, tidak tahu asas-asas solat dan tidak tahu membaca doa.

Sebagai ibu bapa kita seharusnya memberi sokongan dan memahami kerenah anak-anak di awal usia. Pendidikan dirumah lebih penting dari pendidikan di mana-mana. Tugas ibu bapa masih penting walau sesibuk manapun kita. Kita tidak boleh mengadaikan masa depan anak-anak semata-mata sibuk mengejar keduniaan. Jika ibu bapa kurang memberi tumpuan dan perhatian, anak-anak akan berasa terbiar dan mencari haluan sendiri dalam hidup mereka.

Persembahan/Pertandingan Nasyid

Anak-anak perlu dididik dan diberi perhatian sejak mereka masih kecil

Menyampaikan hadiah buat anak-anak yang berjaya

Menerima cenderahati dari Tuan Haji Mohamed Nasar Kurdi


Sunday, October 26, 2008

Aktiviti di rumah

Sarapan bersama anak-anak

Sepanjang minggu ini jadual program saya terlalu padat menyebabkan banyak kerja-kerja di rumah terbengkalai dan agak tidak terurus. Hari ini saya menghabiskan masa dari awal pagi hingga ke petang mengemas rumah, melipat kain baju dan membuang sampah sarap yang sudah bertimbun.

Seperti kebiasaan, saya bangun jam 4.30 pagi untuk menyediakan sarapan untuk anak-anak. Pagi tadi saya siapkan Nasi Goreng dan Roti Telur untuk anak-anak bersarapan. Anak saya yang bongsu hari ini bangun awal dan begitu bersemangat kerana pagi tadi beliau terlibat untuk pertandingan Nasyid Ihtifal PASTI Negeri Perak. Pertandingan nasyid peringkat negeri kali ini tidak memihak kepada kumpulannya dan dimenangi oleh PASTI Kawasan Bagan Serai.

Sepanjang hari ini dan malam semalam suami banyak menghantar SMS menceritakan keadaan beliau di Lahore. Semalam beliau telah menyampaikan ucapan mewakili Parti Islam Semalaysia setelah diminta oleh Tuan Presiden PAS supaya mengantikan beliau kerana TG Haji Hadi perlu berangkat ke Jordan & Syria untuk tugas yang lain. Esok suami akan pulang ke tanahair dan insyaAllah pengalaman beliau di Pakistan saya akan coret di sini setelah mendengar cerita darinya nanti.

Misi bantuan mangsa banjir di Kerian

Keadaan banjir di daerah Kerian, Perak Utara

Semalam saya bersama Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Perak telah mengadakan kunjunga ke Bagan Serai dan Beriah untuk melihat keadaan mangsa-mangsa banjir serta menghulurkan sedikit sumbangan sekadar yang mampu. Dari Ipoh saya ditemani oleh pembantu peribadi iaitu Puan Hamisah dan bertemu dengan Ajk Lajnah Kebajikan yang lain untuk konvoi bersama ke daerah Kerian.

Keadaan banjir di daerah telah berlaku beberapa minggu yang lalu di kawasan Bukit Merah. Namun hujan yang berterusan sejak 2 minggu lalu menyebabkan beberapa kawasan lain di Bagan Serai dan Beriah dinaiki air.

Kami tiba di Beriah dan di sambut oleh Pegawai Daerah Kerian Encik Ismail dan Penghulu Mukim Beriah Encik Suhaimi serta pegawai-pegawai yang lain. Turut bersama YB Ramli Tusin ADUN Selinsing dan isteri, YB Husin Din ADUN Gunung Semanggol & Isteri serta Puan Noorainah isteri kepada YB Idham Lim (ADUN Titi Serong).

Taklimat banjir telah disampaikan oleh En. Ismail dan En. Suhaimi di Pejabat Penghulu Mukim Beriah sebelum kami di bawa melawat penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu dan di Sekolah Kebangsaan Bagan Serai. Saya bersama yang lain turut dibawa menaiki bot untuk melawat mangsa-mangsa banjir di Kampung Tengah Alor Pongsu.

Mereka yang ditempatkan di SK Alor Pongsu ialah dari Kampung Parit Abu Hasan Bar dan Parit Air Hitam 1,2 & 3 manakalan di SK Bagan Serai ialah mangsa banjir dari Kampung Sungai Rawa, Sungai Bogak dan Parit Jawa.

Antara sumbangan yang dapat disalurkan oleh Lajnah Kebajikan seperti Pampers, Duit Raya untuk kanak-kanak, duit sumbangan untuk keluarga dan sumbangan untuk pihak sekolah yang menyediakan penempatan sementara untuk mangsa-mangsa banjir. Dalam pada itu, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan wang untuk mangsa-mangsa banjir di Kerian dan seluruh kawasan yang dilanda banjir di Perak.

Selesai melawat mangsa banjir saya menghadiri Jamuan Aidilfitri Pas Cawangan Kubu Gajah sebelum bertolak pulang ke Ipoh.

Taklimat Banjir di Pejabat Penghulu Mukim Beriah

Melawat mangsa banjir di SK Alor Pongsu dan SK Bagan Serai

Menaiki bot ke Kampung Tengah Alor Pongsu