Friday, October 17, 2008

Empat Hari di Terengganu

Bersama DYMM Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah

Alhamdulillah tepat jam 10.40 malam semalam saya dan suami selamat tiba di Ipoh setelah 4 hari berada di negeri Terengganu. Saya mengiringi suami untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang telah bermula pada 13 Oktober dan berakhir pada 16 Oktober.

Hari pertama di Terengganu tiada aktiviti yang saya terlibat. Setibanya di Kuala Terengganu, suami terus ke Wisma Darul Iman menghadiri Mesyuarat Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri yang bermula pada jam 3.00 petang hari Isnin 13 Okt.

14 Okt pada sebelah pagi diadakan Mesyuarat Pre-Council Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Aktiviti saya pada pagi tersebut ialah melawat Noor Arfa Craft Complex diketuai oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong bersama yang lain DYMM Permaisuri-permaisuri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan-Toh Puan dan Isteri-isteri Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Jam 3.00 petang pula diadakan Majlis Santapan Teh bersama Raja Permaisuri Agong dan tetamu kehormat lain di Istana Badariah Kuala Terengganu.

Pada sebelah malamnya suami telah pergi ke Ketereh menyampaikan ceramah yang dianjurkan oleh PAS negeri. Saya hanya berehat di hotel kerana keletihan.

Rabu 15 Okt, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 di mulakan pada jam 10.30 pagi. Pada jam 3.00 petang semua tetamu telah melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dan Majlis Santapan Negeri anjuran Kerajaan Negeri Terengganu telah diadakan pada waktu malam di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

16 Okt Mesyuarat Majlis Raja-Raja bermula untuk hari kedua dan aktiviti saya bersama Permaisuri-permaisuri dan isteri-isteri Menteri Besar/Ketua Menteri ialah melawat Muzium Negeri Terengganu yang terletak di Bukit Losong.

Setelah tamat semua program, saya mengambil kesempatan ke Pasar Payang untuk membeli sedikit buat tangan untuk anak-anak. Di Pasar Payang saya mencari buah mempelam telur kerana ia sukar dicari di tempat lain.

Ketika dalam perjalanan pulang ke Ipoh dan berhenti di Bukit Bunga, anak sulung menelefon dan mintak belikan buah keranji kerana mengidam. Awal-awal saya telah belikan untuk beliau ketika di Pasar Payang.

Selesai program di Terengganu dan banyak pengalaman baru saya timba. Esok, Lusa dan hari mendatang banyak program lagi yang perlu dihadiri sebagai isteri Menteri Besar. Ketika ini, banyak ujian dan dugaan yang dipikul oleh suami. Dengan isu kenaikan cukai, isu Setiausaha Politik dan pelbagai lagi dimainkan media. Apa yang menenangkan hati saya, suami masih tersenyum berhadapan dengan semua isu-isu kerana dia amat yakin semuanya di atur oleh musuh politik yang sentiasa iri hati dengan pencapaian kerajaan Pakatan Rakyat pada ketika ini.

Di Noor Arfa Craft Complex, Chendering

Bersama Datuk Ahmad Said dan Isteri di Masjid Kristal

Naik buggy bersama Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam.
Salah seorang yang sedang dicalonkan untuk Timbalan Presiden UMNO

Bersama DYMM Paduka Seri Sultan Perak di monumen Masjid Kubbah As-Sakhrah, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man.

Batu Bersurat Teregganu di Muzium Terengganu, Bukit Losong

No comments: