Tuesday, May 12, 2009

Syukur Di Atas Kemenangan

Saya bertolak dari Ipoh bersama suami dan pengiring tepat jam 12.05 tengahari menuju ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kalau tidak silap sudah 7 kali sebelum ini suami berulang alik dari Ipoh ke K.L berjuang untuk kes di mahkamah dan hanya pada hari ini saya dapat bersama beliau ketika keputusan diumumkan.

Saya bersyukur kehadrat Ilahi di atas kemenangan yang diberi. Saya sentiasa menyokong perjuangan dan prinsip yang di bawa oleh suami dan saya tidak pernah nampak apa salahnya dalam perjuangan yang dia bawa untuk perjuangan Islam. Kemenangan di Mahkamah Tinggi petang tadi adalah kemenangan rakyat Perak khasnya dan Malaysia amnya.

Dalam kesempatan masa berada di Kuala Lumpur suami turut dijemput menyampaikan Talk Show berkenaan Islam di akhir zaman di Masjid Al-Azim. Orang ramai hadir untuk mendengar kupasan topik tersebut. Suami bergandingan dengan Ustaz Riduan Md Nor.

Pulang ke Ipoh kami diiringi oleh beberapa kereta dari Kuala Lumpur untuk tujuan keselamatan dan kami tiba di Ipoh pada jam 10.00 malam. Suami ada perjumpaan dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan Mesyuarat Tergempar Exco.


Monday, May 11, 2009

Ceramah Isu Perak & PPSMI

Ceramah mengenai Isu Politik di Perak dan Isu PPSMI telah diadakan di Meru 2B Jelapang. Saya turut meluangkan masa menemani suami yang baru sahaja pulang dari Pahang.

Turut menyampaikan ceramah ialah tokoh sastera negara yang kini sudah banyak turun padang memperjuangkan untuk memansuhkan PPSMI. Cikgu Azmi dari TERAS turut bersama menyampaikan fikrah kepada ribuan yang hadir.

Saturday, May 09, 2009

Temasya Sukan PASTI Kawasan Gopeng ke-8


Pagi tadi saya berkesempatan meluangkan masa bersama anak-anak PASTI di Temasya Sukan PASTI Kawasan Gopeng. Anak bongsu saya Faakhirah yang telah berusia 5 tahun turut bersama mengambil bahagian. Saya tiba bersama suami sekitar jam 9.00 pagi dan bertemu dengan pihak penganjur dan ibu bapa yang hadir. Saya berada sehingga akhir program namun suami terpaksa meninggalkan majlis untuk ke Teluk Intan.

Di dalam program pagi tadi Y.B Simpang Pulai Chan Ming Kai turut hadir dan memberikan ucapan. Perasmian pula telah disempurnakan oleh Hashan Aladi selaku Pengarah PASTI Perak.

Perjalanan program berjalan dengan baik dan suasana meriah dengan telatah anak-anak. Majlis bersurai sekitar jam 1.00 petang. Gambar-gambar boleh dilihat di blog www.ajijoi.blogspot.com

Friday, May 01, 2009

Menghadiri Mesyuarat Dewan Muslimat PAS Bukit Gantang & Bantuan Untuk Fakir Miskin


Hari ini Jumaat 1 Mei 2009 saya melapangkan masa ke Bukit Gantang bagi memenuhi beberapa jemputan dan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada mereka yang miskin dan hidup dalam keadaan susah. Saya telah meminta bantuan dari pihak muslimat PAS Negeri dan Kawasan untuk melancarkan lagi program saya di sana. Mereka turut menyediakan barang-barang sumbangan sejak semalam lagi untuk disalurkan kepada mereka yang berhak menerima.

Sebelum program kunjungan berjumpa rakyat saya terlebih dahulu menghadiri Mesyuarat Agung Muslimat PAS Kawasan Bukit Gantang yang telah diadakan di Markaz Bukit Cempedak.

Dari Mesyuarat Agung saya terus ke Kampung Cheh menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran. Saya juga telah dibawa ke satu kawasan di Terong di mana kawasan tersebut menjadi tempat operasi mencuri pasir. Saya turut melawat tempat penternakan itik dan ikan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga cina miskin.

Dalam kesempatan masa yang ada saya turut bertemu Ketua Kampung Osman Hassan di dalam Mukim Terong. Kemudianya saya turut di bawa melawat satu keluarga cina yang baru kematian ahli keluarganya di Air Terjun.

Misi menyampaikan bantuan kepada fakir miskin diteruskan sejurus selepas itu dengan menziarahi keluarga India di Taiping Rubber Plantation, Jalan Lombong dan kemudianya kami bergerak pula ke kampung melayu untuk menyampaikan sumbangan.

Apa yang dapat saya simpulkan pada lawatan saya hari ini, masih ramai rakyat yang hidup dalam keadaan daif dan susah. Saya selalu bayangkan wang jutaan ringgit yang dibazirkan ke arah lain tanpa ada manfaat boleh disalurkan kepada mereka yang sangat memerlukan untuk meneruskan hidup. Semoga ada usaha yang berterusan dari semua pihak untuk membantu golongan sebegini.

Mangsa Kebakaran di Kampung Cheh

Cina Miskin & Anaknya yang kurang upaya

Kematian kaum Cina Buddha di Air Terjun

Bantuan untuk keluarga India miskin di Jalan Lombong