Sunday, December 14, 2008

Tiba Di Pulau Pinang


Alhamdulillah tepat jam 12.45 malam saya dan suami tiba di Batu Feringghi, PUlau Pinang. Anak-anak yang lain sudah tiba seawal jam 5.30 petang kerana mereka telah berada di utara sejak kelmarin. Bermalam di rumah adik Ipar di Pendang dan terus menghadiri majlis perkahwinan kawan kepada anak sulung saya dan menantu di Kuala Sungai. Dari majlis tersebut mereka terus ke Pulau Pinang.

Di PUlau Pinang kami sekeluarga menetap di Rumah Perak yang terletak di Jalan Batu Feringghi. Seawal pagi anak-anak sudah excited ke pantai yang terletak hanya beberapa langkah dari pintu belakang Rumah Perak. Saya dan suami turut mengambil kesempatan masa bersama anak-anak dan berjalan di pantai Batu Feringghi.

Pulau Pinang bukanlah asing bagi kami sekeluarga kerana kami pernah menetap Pulau Mutiara ini hampir 13 tahun ketika suami bekerja di KOMTAR. Kali ini kami datang untuk bercuti walaupun suami masih ada jadual untuk beliau ikuti.

Tengahari ini suami akan ke Alor Star untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Razak di Pejabat Menteri Besar Kedah dan pada sebelah malamnya suami akan menyampaikan ceramah di Kompleks PAS Kedah di Batu 9 Jalan Alor Star-Sungai Petani.

Esok pagi pula beliau akan mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Menteri Besar Pulau Pinang untuk bertemu dengan Menteri Besar Pulau Pinang, Lim Guan Eng.


Rumah Perak di Batu Feringghi

Sabtu, 15 Zulhijah 1429H/ 13 Disember 2008

Program sepanjang hari Sabtu 13 Disember 2008 padat dari awal pagi hingga ke malam. Dari awal pagi saya mengiringi suami empat lokasi program di Kampar, Tapah dan Ipoh.

Program pertama ialah di Kampar iaitu Ceramah Aidiladha yang telah disampaikan oleh suami dan Al-Fadhil Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Program bermula pada jam 10.00 pagi bertempat di Dewan Majlis Daerah Kampar. Kehadiran penduduk setempat ke majlis ceramah amat membanggakan. Selesai ceramah Aidiladha saya dan suami terus ke rumah ibu mertua di Kampung Air Itam Labu untuk berehat seketika sebelum menghadiri program Perasmian Kejohanan Endorance Motocross Challange 2008 yang telah berlangsung di Taman Tasik Temoh, Tapah.

Dari Tapah saya dan suami terus ke Stadium Perak di Ipoh menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan Perak bertemu pasukan Kuala Muda NAZA sebagai salah satu persediaan sebelum Liga Super 2009 dimulakan tahun hadapan. Perlawanan berkesudahan seri 1-1. Selepas perlawanan selesai saya dan suami mengambil kesempatan bertemu jurulatih dan para pemain untuk bertanya khabar dan memberi rangsangan.

Tiba di kediaman dari stadium lewat petang saya dan suami mengambil peluang masa yang ada untuk berehat dan mengemas beg pakaian untuk 2-3 hari berada di Pulau Pinang dan Kedah.

Sebelah malamnya, kami ke Dewan Banquet SUK menghadiri Majlis Perkahwinan anak kepada Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Dato' Razali. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Paduka Seri Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak, Raja Muda dan Raja Puan Besar serta Raja Dihilir dan Raja Puan Muda.

Selesai majlis di Dewan Banquet saya dan suami bersama pembantu peribadi terus bertolak ke PUlau Pinang.

Bersama muslimat yang hadir di majlis Ceramah Aidiladha
bertempat di Dewan Majlis Daerah Kampar


Suami menyampaikan ceramah Aidiladha bersama
Al-Fadhil Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Suami bersama En. Damiri- Pegawai Daerah Batang Padang serta
beberapa orang Exco dan tetamu lain di Endorance Motocross

Bersalam bersama peserta Endorance Motocross

Endorance Motocross di Taman Tasik Temoh, Tapah

Majlis Perasmian Endorance Motocross

Menonton perlawanan persahabatan antara Perak & Kuala Muda NAZA
di Stadium Ipoh

Bersama pemain-pemain pasukan Perak selepas perlawanan

Bersama tetamu kehormat di Majlis Perkahwinan
anak Dato' Razali- Pegawai Daerah Kuala Kangsar di Dewan Banquet SUK


Dua mempelai diraikan

Ceramah Umum Di Kedah


Ceramah Umum yang membariskan 3 orang penceramah iaitu Y.A.B Dato' Seri Azizan Abd Razak, Y.A.B Dato' Seri Ir. Haji Nizar Jamaluddin dan Y.B Mohd Izzat Shauqi akan diadakan di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Jalan Alor Star-Sungai Petani.

Majlis bermula pada jam 9.00 malam, 14 Disember 2008 bersamaan 16 Zulhijah 1429H. Seluruh lapisan masyarakat dijemput hadir.

Wednesday, December 10, 2008

Ziarah Mangsa Nahas Bas di Muar

Kesempatan berada di daerah Manjung untuk majlis penyembelihan korban, saya dan suami bersama Y.B Ngeh telah melawat 2 keluarga mangsa nahas bas ekspress Super Nice yang berlaku pada 7 Disember yang lalu di Tangkak, Johor.

Keluarga yang kami ziarahi ialah adik Yuen Yee yang cedera di bahagian mata di mana datuknya Mendiang Poh Meng Lai maut ditempat kejadian. Kisah adik Yuen Yee ada dimuatkan di dalam akhbar Berita Harian Isnin 8 Disember di mana beliau enggan berganjak dan menunggu datuknya yang tersepit dicelah bas yang remuk.


Sebuah keluarga lagi yang telah kami ziarahi di Kampung Selamat isterinya masih meratapi pemergiaan suaminya berusia 47 tahun. Beliau mempunyai 2 orang anak untuk disara setelah hilang tempat pergantungan.

Dalam kejadian ngeri awal pagi Sabtu yang lalu, 10 orang maut dan 18 cedera apabila bas dari Pantai Remis menuju ke Singapura terbabas dan terbalik di Kilometer 146.5 Lebuhraya PLUS berhampiran Tangkak.

Penyembelihan Qurban di Pasir Panjang


Saya menemani suami ke Pasir Panjang pada Hari Raya Kedua untuk menyempurnakan majlis penyembelihan qurban di dua tempat yang berbeza. Pertamanya di Masjid Kampung Sitiawan MB sendiri telah menyembelih 2 ekor lembu korban dan menyampaikan ucapan sempena Aidiladha di masjid tersebut.

Tempat kedua ialah di Surau Kampung Lekir Batu 15, Kayan di mana MB turut menyembelih seekor lembu sebagai korban dan di sini Y.B Ngeh Koo Ham selaku ADUN Sitiawan turut bersama di dalam majlis. Beliau turut bersama mendengar tazkirah di dalam surau dan melihat kali pertama dalam hidupnya lembu disembelih dan ia dilakukan oleh MB sendiri. Y.B Ngeh turut melahirkan rasa 'takjub' beliau dengan keberanian MB menyembelih lembu sambil menyifatkan ia bukan boleh dilakukan oleh semua manusia kecuali yang betul-betul ada keberanian.


Tuesday, December 09, 2008

10 Zulhijah 1429- Selamat Hari Raya Korban

Pagi Aidiladha 1429H saya dan suami solat Sunat Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), Ipoh. Sultan Perak, Raja Muda & Raja Dihilir turut menunaikan solat sunat bersama di masjid negeri.

Selesai solat sunat kami sekeluarga menerima jemputan menghadiri Majlis Jamuan Teh Sempena Hari Raya Aidiladha bertempat di Istana DYTM Raja Muda yang terletak di Jalan Sultan Azlan Shah. Antara yang hadir ialah Raja Dihilir dan Raja Ashman (Adinda kepada Raja Nazrin).

Sebelah petang kami pulang ke kampung menziarahi bonda di Tapah dan kemudiannya ke Kampar menziarahi ibu mertua saya dan sanak saudara lain.

Gambar-gambar di Majlis Jamuan Teh di Istana DYTM Raja Muda

Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Perak

Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2008 Peringkat Negeri Perak telah diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Ipoh pada hari Ahad 7 Disember 2008.

Majlis tersebut telah mendapat perkenan Paduka Seri Sultan Perak yang turut hadir meraikan majlis. Turut bersama Raja Permaisuri Perak, Raja Muda & Raja Puan Besar serta Raja Dihilir & Raja Puan Muda.

Tetamu kehormat lain yang hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Besar Y.A.B Dato Seri Ir. Haji Nizar Jamaluddin dan isteri Datin Seri Fatimah Taat, Dato' Dr. Abdul Rahman bin Hashim- Setiausaha Kerajaan Perak, Dato' Jamaluddin Al-Amini- Pegawai Kewangan, Yang Dipertua Dewan Negeri Y.B Sivakumar a/l Varatharaju Naidu, Y.B Sivanesan a/l Achalingam- Exco Alam Sekitar, Y.B Nga Kor Ming- Exco Pendidikan, Y.B Dato' Ngeh Koo Ham- Exco Tenaga, Air & Hal Ehwal Bukan Islam.

Ketibaan Paduka Seri Sultan Perak disambut oleh MB &
Tetamu Kehormat yang lain

Jamuan Makan

Sunday, December 07, 2008

Pameran PIKOM

Semalam selepas solat Maghrib saya bersama anak-anak melapangkan masa berkunjung ke Pameran PIKOM (PC Fair) yang telah dibuka pada 5 Disember yang lalu bertempat di Dewan SJK (C) Yuk Choy, Ipoh. Seperti kebiasaan sambutan oleh masyarakat umum kepada pameran seperti ini amat menggalakkan dan ketika saya berada di dewan pameran pada jam 8.10 malam keadaan masih sesak dengan pengunjung. Ruang pameran dan jualan pula kecil.

Setelah melayan anak-anak membeli beberapa aksesori komputer, kami berkunjung pula ke Fun Fair berdekatan Kinta City.


Pameran PIKOM


Program Ceramah Agama di Kediaman Rasmi MB Akan Diteruskan

Alhamdulillah Ceramah Agama yang julung kalinya dianjurkan oleh saya di kediaman rasmi Menteri Besar mendapat sambutan yang menggalakkan. Program semalam menyaksikan hampir 400 tetamu telah hadir bukan sahaja dari sekitar daerah Kinta bahkan dari luar. Pegawai-pegawai kerajaan, Exco & ADUN turut bersama hadir bagi mendapat santapan rohani yang diadakan bersempena dengan perayaan Aidil Adha.

Penceramah jemputan ialah Ustaz Tarmizi Abdul Rahman yang telah mengupas tentang Falsafah Hari Raya Korban dan ramai tetamu yang hadir secara peribadi bertemu saya memuji cara kupasan dan pendekatan ceramah yang dilakukan oleh Ustaz Tarmizi.

Melihat kepada sambutan yang baik, InsyaAllah saya akan mengaturkan lagi program-program ceramah agama di kediaman terutama untuk golongan muslimat agar pengisian rohani sentiasa berada di jiwa kita. Mungkin pihak kediaman akan anjurkan sebulan sekali bergantung kepada masa yang bersesuaian.

Jamuan Minum Petang diadakan sejurus selepas ceramah. Menu ialah Bihun Sup & Kuih Muih.

Turut hadir semalam mereka dari Persatuan Motor Berkuasa Tinggi Perak dan Bloggers.


Saturday, December 06, 2008

Majlis Perkahwinan Puteri Y.B Tuan Haji Husin b. Haji Din


Selepas satu pertemuan bloggers bersama suami di kediaman rasmi untuk rakaman ucapan Aidiladha, saya bersama suami dan anak-anak telah menghadiri Majlis Perkahwinan 2 orang Puteri Y.B Tuan Haji Husin b. Haji Din- ADUN Selinsing yang berlangsung di rumah beliau di Kampung Matang Pasir, Gunung Semanggol.

Kami tiba sekitar jam 12.30 tengahari dan tetamu sudah mula memenuhi ruang jamuan. Selepas jamuan makan, kami mengambil peluang beramah mesra dengan tetamu yang hadir sebelum bertolak pulang ke Ipoh pada jam 1.30 tengahari dan perlu tiba di kediaman sebelum jam 3.00 petang untuk program ceramah agama.

Tuesday, December 02, 2008

Bercuti


Semalam dan hari ini suami mengambil cuti selama 2 hari dan kami sekeluarga mengambil peluang pulang ke kampung dan berehat di Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Sungai Klah di Sungkai. Program di Sungkai telah diatur oleh kakak suami yang menetap di K.L. Beliau pulang ke kampung dan berpakat dengan beberapa ahli keluarga yang lain untuk berkelah di Sungai Klah.


Kami bermalam di Kampung Air Itam Labu dan pagi tadi saya dan suami menziarahi bonda di Tapah. Kami sempat singgah di rumah sewa di Batu 3 Temoh mengemas apa yang patut sebelum pulang ke Ipoh selepas waktu zohor.