Friday, January 02, 2009

Suami Terima Anugerah Kehormat IEM


Pada 27 Disember yang lalu bertempat di Hotel Heritage satu majlis Makan Tengahari telah dianjurkan oleh Institusi Jurutera Malaysia (The Institution Of Engineers Malaysia) IEM. Pada yang sama bermula dari awal pagi mereka telah mengadakan Mesyuarat Tahunan untuk sesi 2008.

Sebelum majlis makan bermula, satu majlis telah diadakan untuk mengumumkan pemberian IEM Honorary Fellow kepada suami. Pemberian anugerah tersebut dari IEM amat bermakna dan suami amat terharu serta berterima kasih.

Sejak tahun 1981, 24 orang telah menerima anugerah tersebut dan suami adalah penerima yang ke-25 bagi tahun 2008. Antara yang pernah menerima anugerah tersebut ialah Allahyarham Tan Sri Dr. Haji Yusoff Ibrahim (Pertama-1981), Late Dr. J.G Daniel, Tun Mahathir (1984), Sultan Azlan (1989), Tun Daim (1998), Pak Lah (2001) dan lain-lain.

Thursday, January 01, 2009

Ceramah Tahun Baru Bersama Cikgu Azmi

Cikgu Azmi menyampaikan ceramahnya

Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah dan Tahun Baru 2009 kepada semua Bloggers dan pengunjung blog ini.

Alhamdulillah, di hari pertama untuk tahun 2009 program ceramah agama bersempena tahun baru telah berjaya diadakan di Dewan Serbaguna Kediaman Rasmi Menteri Besar. Cikgu Azmi selaku penceramah kali ini memberikan pidato yang cukup hebat dan berkesan kepada lebih 600 hadirin yang hadir memenuhi ruang dewan. Lebih ramai dari ceramah kali pertama yang diadakan dahulu dan harapan saya sudah pasti bulan hadapan bertambah ramai pendengar akan hadir.


Pulang ke Kampar dan Tapah
Selesai program saya dan suami bersama anak-anak pulang ke kampung untuk menziarahi ibu dan ibu mertua saya.

Selamat bercuti dan selamat 'menyiapkan' anak-anak kembali ke sekolah.

Wednesday, December 31, 2008

Lawatan ke perkampungan Orang Asli Pos Poi, Sungai Siput


Pada 28 Disember saya dan suami bersama pegawai-pegawai kerajaan telah berkunjung ke perkampungan Orang Asli Pos Poi yang terletak di Sungai Siput. Ketibaan kami di sana disambut dengan penuh meriah oleh penduduk kampung.

Kami dipersembahkan dengan tarian dan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli dan selepas itu suami menyampaikan ucapan dan seterusnya menyerahkan sedikit bantuan peralatan dari kerajaan negeri Perak. Kami di bawa melawat ke rumah-rumah penduduk dan kawasan sekitar kampung.

Apa yang menyedihkan dari apa yang saya lihat dan diberitahu oleh Tok Batin kampung adalah mereka masih hidup dalam keadaan yang serba kekurangan walaupun negara sudah merdeka selama 51 tahun. Kesemua 400 keluarga di kampung tersebut tidak mendapat bekalan air bersih dan eletrik. Mereka masih hidup dengan menggunakan air sungai perigi dan malamnya diterangi oleh lampu pelita dan gasolin.

Kesemua mereka bekerja kampung, bercucuk tanam dan mengusahakan ladang kelapa sawit dan menoreh getah. Kerajaan terdahulu telah meluluskan tanah-tanah berdekatan untuk diusahakan kelapa sawit tetapi sebaliknya tenaga mereka dikerah dengan pulangan hasil yang tidak sepatutnya ke tangan mereka. Ada unsur-unsur tidak telus dan amanah dalam pembahagian hasil kepada penduduk di situ.

Mereka turut meluahkan perasaan dan isi hati kepada suami dan saya tentang kesusahan hidup yang mereka hadapi akibat dari hasil yang mereka terima langsung tidak mencukupi.

Saya sendiri melihat keadaan rumah yang mereka diami amat usang. Saya terfikir bagaimana kerajaan terdahulu melaungkan Perak bebas dari miskin tegar tetapi hakikatnya terlalu ramai lagi rakyat-rakyat yang tidak terbela lagi keperluan asas terutama api dan air.

Suami mengimamkan solat Zohor berjemaah di Balai Lintang yang terlalu doif. Balai Lintang tersebut ialah pondok usang beratap rumbia. Balai Lintang tersebut dijadikan tempat solat kerana kampung masih belum mempunyai surau. Segala program dan aktiviti di adakan di balai lintang tersebut.

Semua pegawai dan penduduk kampung mendengar tazkirah oleh suami selepas solat Zohor dan suami mengingatkan kepada semua pegawai kerajaan tentang amanah yang dipikul, jalankan sebaik yang mungkin kerana di akhirat kelak kita akan dipersoal dengan setiap kerja-kerja yang dilakukan. Contoh yang paling dekat apa yang dilihat di kampung pos poi. Mereka semuanya beragama Islam dan sepatutnya semua jentera kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk pembangunan fizikal kampung dan pemantapan rohani mereka.

InsyaAllah. Untuk masa terdekat, suami telah bercadang di bawah usaha kerajaan Negeri Perak masyarakat orang asli ini akan mendapat pembelaan agar kehidupan mereka dapat dinaiktarafkan.

Layanan mereka amat baik kepada kami ahli rombongan membuktikan mereka menerima baik kerajaan yang baru dengan pengharapan kehidupan mereka dapat berubah. Sebelum pulang kami dijamu dengan masakan kampung yang sungguh menyelerakan yang jarang-jarang ditemui zaman kini.


Tuesday, December 30, 2008

Ribuan Rakyat Penuhi Padang Majlis Daerah Kampar


Ceramah Pakatan Rakyat yang disampaikan oleh 5 penceramah pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat telah menarik minat ribuan penduduk di Kampar dan kawasan sekitarnya hadir ke Padang Majlis Daerah Kampar bagi mendengar berita-berita terbaru, sahih dan tepat dari kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Semua bangsa Melayu, Cina dan India berkumpul dan tambah hebatnya pimpinan dari 3 bangsa utama mampu berdiri di satu pentas berpidato memberi penerangan kepada rakyat bahawa keadilan, kesaksamaan menjadi agenda perjuangan kerajaan Pakatan Rakyat yang sedia ada.

Kesemua penceramah menyampaikan ucapan dengan baik dan bernas dan sering mendapat tempukan gemuruh. Ceramah dimulakan oleh Y.B Keshvinder- ADUN Malim Nawar merupakan salah seorang ADUN Pakatan Rakyat yang berbangsa Sikh. Penceramah kedua ialah Y.B Kesavan iaitu ADUN Hutan Melintang yang menyampaikan ucapan di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Tamil. Kemudian ceramah diteruskan oleh Y.B Chen Fook Chye ADUN Keranji yang juga Exco Kerajaan yang menyampaikan ucapan di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin.

Kehangatan ceramah diteruskan oleh Exco Kanan Y.B Ngeh Koo Ham dan Y.A.B Menteri Besar.
Antara isi ceramah yang disampaikan oleh Menteri Besar ialah : Menyeru kepada semua hadirin bersatu untuk mematikan politik perkauman yang dibawa oleh UMNO, MIC dan MCA dan menyeru kepada saudara ahli UMNO agar bertukar kepada PAS yang bersungguh-sungguh membela Islam dan turut membela nasib orang Melayu. Isu-isu semasa dan dasar kerajaan Negeri terus dilaungkan agar rakyat mendapat dan mendengar berita yang sebenar berbeza dari berita yang sering diputarbelitkan oleh media arus perdana.

Ceramah ini juga merupakan ceramah sulung suami di tempat kelahiran beliau sendiri sejak memegang jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

Ribuan Rakyat yang hadir dari pelbagai bangsa
menunjukkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat

Sahabat Usrah 18P


Semalam selepas menghadiri program Ma'al Hijrah di Dewan Banquet SUK, saya dan suami menerima tetamu di kediaman rasmi. Mereka ialah sahabat-sahabat seperjuangan suami ketika kami menetap di Kuala Lumpur. Mengimbas kembali kenangan, dahulu ketika mula-mula berkahwin, ada masa-masanya suami memberitahu akan ke rumah Flat Kerinchi untuk bertemu dengan anak-anak buah untuk program Usrah. Beliau menjadi Mentor ketika itu bersama Sdr. Yusuf (belajar bersama di U.K). Ketika itu, anak-anak buah Usrah masih bujang dan tinggal bersama di dalam satu rumah di Bilik 18P, rumah Flat Kerinchi. Usrah mereka ketika itu dikenali dengan Usrah 18P.

Hampir ke semua anak buah seramai 10 orang yang mengikuti Usrah bersama suami dan Yusuf hadir ke kediaman semalam dan banyak kenangan-kenangan lama dibualkan. Mereka datang bersama keluarga masing-masing dan berjanji berkumpul di Masjid Negeri untuk tiba bersama-sama di kediaman.

Suami amat gembira dapat bertemu kembali anak-anak buah dan hubungan yang terbentuk sekian lama kembali terjalin dengan pertemuan yang penuh bermakna.

Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Perak

Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Perak telah bermula sehari sebelum awal tahun baru dengan penganjuran program Di Ambang Hijrah yang telah berlangsung di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta. Program di Ulu Kinta pada 28 Dis 08 telah dimulakan dengan ceramah Maal Hijrah.

Beberapa hadiah telah disampaikan pada petang hari tersebut :

Pengurusan Masjid Terbaik
1. Masjid Al-Hidayah, Assam Kumbang, Taiping (Johan)
2. Masjid Al-Hadhari, Padang Rengas, Kuala Kangsar
3. Masjid Jamek Al-Makmur, Langkap, Teluk Intan

Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik.
1. Tanah Perkuburan Islam Masjid Rahmaniah, Gunung Semanggol (Johan)
2. Tanah Perkuburan Islam Al-Maarif, Kampung Lempor, Manong
3. Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Nur, Kampung Lawin, Gerik.

Pengurusan Sekolah Menengah Agama Rakyat Terbaik
1. Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (Johan)
2. Maahad Al-Islah, Sungai Lampam, Teluk Intan
3. Sekolah Menengah Al-Hidayah, Taman Indah Jaya, Ipoh.

Pengurusan Sekolah Rendah Agama Rakyat Terbaik
1. Madrasah Al-Az-Zilaliah, Taman Mewah, Kamunting (Johan)
2. Madrasah Al-Azharul Jannah, Simpang 4, Semanggol
3. Sekolah Rendah Agama Rakyat, Attarbiah, Tanah Lalang, Bagan Datoh

Bacaan Yassin dan Tahlil diadakan sebelum Solat Maghrib dan dibaca Doa Akhir Tahun. Selepas Solat Maghrib berjemaah, Doa Awal Tahun pula dibaca untuk mendapatkan pengampunan dan rahmat dari Allah. Majlis Di Ambang Hijrah diakhiri dengan Forum Perdana yang telah berlangsung selepas solat Isyak berjemaah.

Perhimpunan Kemuncak Sambutan Ma'al Hijrah
Peringkat Negeri Perak di Dewan Banquet SUK

29 Disember 2008
Perhimpunan Kemuncak Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Perak diadakan di Dewan Banquet, SUK Perak. Al-Fadhil Ustaz Tuan Haji Muhammad Rivai Batubara telah diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Tahun 1430H manakala Tan Sri Dato' Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Nordin yang kini menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UITM menerima Anugerah Khas Ma'al Hijrah.

Titah Perasmian Majlis telah disempurnakan oleh D.Y.T.M Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. Majlis bersurai pada jam 11.30 pagi.

Monday, December 29, 2008

Karnival Sua Rasa TV9

Suami ditemubual oleh Aziz Desa dalam program
Nasi Lemak Kopi O

Semalam saya dan suami telah melawat Karnival Sua Rasa anjuran TV9 yang telah dilangsungkan di Dataran Bandaraya Ipoh selama 2 hari mulai 27 Disember dan berakhir 28 Disember 2008.

Saya dan suami melapangkan masa hampir 3 jam di tapak karnival dan turut bertemu dengan Pengerusi Media Prima Dato' Mutalib serta jiran lama kami ketika menetap di Gombak, Bukhari Che Muda. Jam 8.30 pagi suami turut ke udara secara langsung di TV9 dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O yang telah dihoskan oleh Saudara Aziz Desa. Ini merupakan kali pertama suami ditemuramah secara langsung dan ke udara di televisyen semenjak beliau menjadi menteri besar.

Selepas program Nasi Lemak Kopi O kami di bawa ke bertemu dengan Finalis program Gadis Melayu di booth TV9. Selepas itu kami di bawa ke Gerai Warisan Bonda untuk berlintas langsung di kaca TV untuk program masakan tradisional Negeri Perak. Resepi yang dipersembahkan ialah Gulai Tempoyak.

Selesai acara tersebut saya dan suami di bawa melawat ke booth Ar-Risaalah, Tourism Perak dan Celcom. Selesai minum pagi kami terus pulang ke kediaman sebelum ke Sungai Siput.

Sebelah malam saya ditemani anak dan menantu sekali lagi ke tapak karnival sua rasa untuk mengikuti program Halaqah yang disiarkan secara langsung di TV9 mulai jam 9.00 malam. Hujan turut agak lebat dan masih renyai-renyai hingga akhir program. Suami tidak dapat bersama kerana mengikuti program di Ambang Maal Hijrah yang telah diadakan di Masjid An-Nur Batu 8, Hulu Kinta.

Program Halaqah telah dipengerusikan oleh Ust Shukri Yusuf dan ahli panelnya ialah Dr. Sharifah Hayati dan Ustaz Roslan Che Ros yang mengupas mengenai tajuk 'Hijri' 'Masihi'.


Menerima cenderahati dari pihak TV9

Beramah mesra dengan pengunjung karnival

Program Warisan Bonda bersama Chef Fairuz

Di Booth Ar-Risaalah, Perak Tourism & Celcom

Program Halaqah

Sunday, December 28, 2008

Tetamu Dari Kepala Batas


Kediaman Rasmi Menteri Besar telah menerima kunjungan hormat dari sahabat pimpinan & ahli PAS Kawasan Kepala Batas. Ketibaan mereka pada jam 3.00 petang disambut oleh saya dan suami, wakil kerajaan dan staf di kediaman.

Di dalam majlis ramah mesra bersama mereka, Ketua Penerangan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak telah menyampaikan maklumat terkini mengenai kerajaan Perak dan isu-isu semasa. Suami turut menyampaikan ucapan sebelum majlis minum petang. Terima kasih buat tetamu yang hadir.


Saturday, December 27, 2008

Ceramah Perdana Pakatan Rakyat


Ceramah Perdana Pakatan Rakyat Bersama Menteri Besar, Exco Y.B Nga Kor Ming dan ADUN Hutan Melintang Y.B Kesavan a/l Subramaniam akan diadakan pada 29 Disember 2008 bertempat di Padang Majlis Daerah Kampar mulai jam 8.00 malam.

Semua lapisan rakyat dijemput hadir untuk mendengar berita-berita terkini dari Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Friday, December 26, 2008

Pelancaran Tabung Kebajikan Pemuda Prihatin

Tepat jam 10.45 malam saya tiba di kediaman setelah menemani suami menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Menteri Besar Perak di Dewan Silveritage, Medan Gopeng. Majlis Makan Malam ini diadakan bersempena Pelancaran Tabung Kebajikan Pemuda Prihatin.


Program yang boleh saya sifatkan mendapat sambutan yang baik dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur yang diketuai oleh Saudara Salman Salleh.

Jamuan makan diadakan diiringi dengan persembahan nasyid oleh anak-anak Sekolah Rendah Islam An-Najmi.

Suami turut memberi ucapan antara lain beliau berharap jentera dan tenaga pemuda yang ada dapat bekerja keras untuk memahamkan rakyat tentang perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Media arus perdana tidak boleh dipercayai dan tidak pernah berlaku adil menyebarkan berita tentang Pakatan Rakyat.


Thursday, December 25, 2008

Ceramah Hijaratul Rasul S.A.W

Kad Jemputan Ke Ceramah Agama Sempena
Tahun Baru Hijrah 1430


Alhamdulillah setelah program Ceramah Agama pertama kali saya anjurkan di kediaman rasmi MB pada 6 Disember 2008 yang lalu mendapat sambutan dan respon yang baik, InsyaAllah pada awal tahun 2009 iaitu pada 1 Januari akan dianjurkan lagi sebuah Ceramah Agama bersempena Tahun Baru Hijrah 1430.

Penceramah kali ini ialah Tuan Haji Azmi Abdul Hamid selaku Presiden TERAS. Majlis akan bermula pada jam 10.00 pagi dan semua dijemput hadir.

Kuliah Subuh di Masjid KISDAR

Suami menyampaikan kuliah subuh di Masjid KISDAR

Seawal jam 5.00 pagi suami telah berangkat ke Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) di Kuala Kangsar bagi memenuhi jemputan menyampaikan kuliah subuh sekaligus merasmikan Majlis Penutup Sambutan Maal Hijrah 1430 peringkat KISDAR.

Suami menceritakan kepada saya beliau memperingati jemaah yang hadir tentang kepentingan niat dalam melakukan semua kerja dan turut menyentuh beberapa perkara yang menyebabkan manusia boleh syirik dengan Allah. Semua perlu bersedia menghadapi alam kematian yang pasti dalam keadaan beriman. Semuanya dikaitkan dengan hijrah yang menuntut diri manusia sentiasa berada di dalam keadaan suci.

Diakhir ucapan perasmian penutup, suami yang juga Pengerusi Lembaga Tadbir KISDAR memberi jaminan penuh bahawa institusi pengajian tinggi KISDAR yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri akan terus di bela. Antara tindakan yang telah dibuat ialah menurunkan harga sewa asrama kepada para pelajar.

Bersama di dalam kuliah subuh ialah Rektor KISDAR Prof. Dr Yusuf Husin, Timbalan Rektor Tuan Haji Husni, Pengarah Program- En. Suhaimi, Pendaftar, Dekan-dekan, warga KISDAR dan penduduk setempat.

Menerima cenderahati dari Rektor KISDAR