Wednesday, December 31, 2008

Lawatan ke perkampungan Orang Asli Pos Poi, Sungai Siput


Pada 28 Disember saya dan suami bersama pegawai-pegawai kerajaan telah berkunjung ke perkampungan Orang Asli Pos Poi yang terletak di Sungai Siput. Ketibaan kami di sana disambut dengan penuh meriah oleh penduduk kampung.

Kami dipersembahkan dengan tarian dan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli dan selepas itu suami menyampaikan ucapan dan seterusnya menyerahkan sedikit bantuan peralatan dari kerajaan negeri Perak. Kami di bawa melawat ke rumah-rumah penduduk dan kawasan sekitar kampung.

Apa yang menyedihkan dari apa yang saya lihat dan diberitahu oleh Tok Batin kampung adalah mereka masih hidup dalam keadaan yang serba kekurangan walaupun negara sudah merdeka selama 51 tahun. Kesemua 400 keluarga di kampung tersebut tidak mendapat bekalan air bersih dan eletrik. Mereka masih hidup dengan menggunakan air sungai perigi dan malamnya diterangi oleh lampu pelita dan gasolin.

Kesemua mereka bekerja kampung, bercucuk tanam dan mengusahakan ladang kelapa sawit dan menoreh getah. Kerajaan terdahulu telah meluluskan tanah-tanah berdekatan untuk diusahakan kelapa sawit tetapi sebaliknya tenaga mereka dikerah dengan pulangan hasil yang tidak sepatutnya ke tangan mereka. Ada unsur-unsur tidak telus dan amanah dalam pembahagian hasil kepada penduduk di situ.

Mereka turut meluahkan perasaan dan isi hati kepada suami dan saya tentang kesusahan hidup yang mereka hadapi akibat dari hasil yang mereka terima langsung tidak mencukupi.

Saya sendiri melihat keadaan rumah yang mereka diami amat usang. Saya terfikir bagaimana kerajaan terdahulu melaungkan Perak bebas dari miskin tegar tetapi hakikatnya terlalu ramai lagi rakyat-rakyat yang tidak terbela lagi keperluan asas terutama api dan air.

Suami mengimamkan solat Zohor berjemaah di Balai Lintang yang terlalu doif. Balai Lintang tersebut ialah pondok usang beratap rumbia. Balai Lintang tersebut dijadikan tempat solat kerana kampung masih belum mempunyai surau. Segala program dan aktiviti di adakan di balai lintang tersebut.

Semua pegawai dan penduduk kampung mendengar tazkirah oleh suami selepas solat Zohor dan suami mengingatkan kepada semua pegawai kerajaan tentang amanah yang dipikul, jalankan sebaik yang mungkin kerana di akhirat kelak kita akan dipersoal dengan setiap kerja-kerja yang dilakukan. Contoh yang paling dekat apa yang dilihat di kampung pos poi. Mereka semuanya beragama Islam dan sepatutnya semua jentera kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk pembangunan fizikal kampung dan pemantapan rohani mereka.

InsyaAllah. Untuk masa terdekat, suami telah bercadang di bawah usaha kerajaan Negeri Perak masyarakat orang asli ini akan mendapat pembelaan agar kehidupan mereka dapat dinaiktarafkan.

Layanan mereka amat baik kepada kami ahli rombongan membuktikan mereka menerima baik kerajaan yang baru dengan pengharapan kehidupan mereka dapat berubah. Sebelum pulang kami dijamu dengan masakan kampung yang sungguh menyelerakan yang jarang-jarang ditemui zaman kini.


1 comment:

hrmk said...

takde gambo masakan org sane ke?