Monday, December 22, 2008

Membela Nasib Rakyat Miskin


Atas dasar keprihatinan dan rasa simpati terhadap golongan miskin dan tidak terdaya untuk bekerja mencari nafkah, saya telah mengatur satu pertemuan dengan 2 buah keluarga miskin di Sungai Siput (U) untuk bertanya khabar dan menyalurkan sumbangan.

Turut bersama saya di dalam program ziarah tersebut ialah Ketua & Ajk Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Perak, Timbalan YDP Pas Kawasan Sungai Siput serta muslimat Kawasan Sungai Siput.

Kami telah menziarahi warga emas yang lumpuh iaitu Encik Mat Nor Ibrahim dan Mariam Adnan di Kampung Jalong, Sungai Siput. Di mana kisah beliau ada dimuatkan di dalam Akhbar Metro beberapa hari yang lalu. Mat Nor yang berusia 71 tahun sudah 20 tahun lumpuh dan isterinya berusia 63 tahun bekerja menoreh getah untuk meneruskan kehidupan. Rumah yang didiami oleh mereka terlalu uzur dan sudah reput. Mereka turut menerima bantuan dari pihak Baitulmal negeri RM150 sebulan bermula tahun lalu.

Sebuah kerusi roda telah saya sumbangkan kepada Mat Nor beserta barang-barang dapur dan wang tunai.

Ketika lawatan di rumah Mat Nor, ramai penduduk Kg. Jalong berkumpul dan meluahkan masalah mereka yang sering mengalami banjir ketika musim hujan. Terdapat hampir 300 buah rumah di kampung tersebut. Mereka turut memohon penempatan baru dan meluahkan rasa dukacita di atas penurunan harga getah yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk. Mereka turut memohon agar diberi latihan kemahiran untuk menambahkan pendapatan.

Dari Kampung Jalong saya bersama yang lain pergi pula ke Kampung Jaya Setia untuk menyampaikan sedikit bantuan berupa barang-barang dapur dan wang tunai kepada En. Shaari b. Telang berusia 77 tahun yang sudah 2 tahun tidak dapat melihat. Beliau yang berasal dari Serdang Kedah kini tinggal bersama anak perempuan dan menantunya di kampung tersebut.

Saya berada sedih kerana dalam keadaan negara yang sudah maju, masih ramai golongan miskin dan tidak berupaya hidup tanpa pembelaan. Walaupun Jabatan Kebajikan dan pelbagai pertubuhan kerajaan & swasta diwujudkan untuk tujuan membantu golongan sebegini namun hasilnya belum menyeluruh. Tambahan apa yang saya kesali ada pihak yang menghulur bantuan memilih bulu dan mereka pula mengharapkan habuan yang besar.

Suami telah mencadangkan agar saya sendiri turun melihat keadaan masyarakat yang hidup susah. Mereka tidak tahu di mana mereka ingin mendapat bantuan, mereka tidak ada kenderaan untuk ke pusat-pusat kebajikan untuk memohon bantuan. Bagi mereka yang berkemampuan sama-samalah kita membantu golongan miskin sebegini dan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan terus berjuang membela nasib mereka.

1 comment:

Muhammad Fahmi said...

DS,

ada gambar2 cantik masa kenduri kahwin hari tu di sini:

http://tilotama.fotopages.com/?entry=1709419