Wednesday, July 30, 2008

Pelancaran Bulan Galakan Solat

Hari ini semua anak-anak tidak ke sekolah kerana cuti sambutan Isra' Mikraj tetapi harapan untuk bersantai bersama keluarga tidak kesampaian kerana suami bekerja seperti biasa.

Ikut pada jadual pada hari ini saya perlu mengiringi suami ke suatu program sambutan Isra' Mikraj di Institut Pentadbiran Islam Perak (INTIM) namun saya terpaksa menguzurkan diri kerana bonda saya sekali lagi dikejarkan ke hospital kerana kesesakan nafas secara tiba-tiba. Bonda yang kini berusia 84 tahun di jaga sepenuh masa oleh kakak kandung yang menetap di Tapah.

Saya dan anak-anak bergegas pulang ke Tapah selepas suami berangkat ke pejabat untuk menziarahi bonda. Alhamdulillah keadaan bonda pada ketika ini stabil. Menurut doktor bonda kesesakan nafas secara tiba-tiba berikutan jangkitan virus pada tiub makanannya. Hampir 3 jam saya di hospital sebelum ke Kampar untuk menziarahi ibu mertua saya. Saya dan anak-anak makan tengahari di kampung suami di Air Itam Labu, Kampar.

Pada hari semalam selepas solat Maghrib saya telah menghadiri satu program yang dinamakan Bulan Galakan Solat bersempena sambutan Isra' Mikraj di Dataran MBI, Ipoh. Program seperti ini merupakan satu inisiatif kerajaan yang amat baik bagi menyedarkan rakyat tentang kepentingan rukun Islam yang kedua ini.

Suami mengimamkan solat Isyak berjemaah bersama seluruh rakyat yang hadir di tempat program. Selepas solat program diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Menteri Besar dan Tazkirah ringkas disampaikan oleh Pengetua Sekolah Agama Abbasiah Sungkai. Majlis turut menjemput saudara Suhaimi dan isterinya saudari Ina Naim untuk menyerikan majlis dengan alunan nasyid.

Solat Isyak berjemaah di Dataran MBI, Ipoh

Saya dan suami bersama dif kehormat sebelum majlis perasmian

Menyaksikan tayangan upacara perasmian

Tuesday, July 29, 2008

UMNO-PAS bergabung?

Keratan muka hadapan akhbar Berita Harian 29 Julai 2008

Begitulah kata-kata Pengerusi Badan Perhubungan Perak Mohd Tajol Rosli Ghazali yang membuatkan saya tersenyum di awal pagi. Sehari dua ini kecoh satu Malaysia dan dunia tentang isu Parti PAS dan UMNO mahu bergabung. Pelbagai konflik telah timbul berikutan isu ini. Antaranya ada yang mengatakan parti PAS dan UMNO akan dibubarkan dan ada pula yang mengatakan PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat.

Selain dari itu, tidak kurang pula yang mengatakan PAS dan UMNO perlu bersatu demi kepentingan melayu. Tambahan media massa bercetak yang dimiliki oleh UMNO dan BN galak menulis dan memutarbelitkan fakta sebenar yang diperkatakan oleh Mursyidul Am PAS.

Tuan Guru Nik Aziz dalam kenyataannya ada menyebut PAS mungkin akan bubar sekiranya UMNO bersedia dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru yang memilih Islam sebagai dasarnya. Dengan kenyataan inilah banyak media memutarbelitkan fakta dari apa sebenarnya dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Aziz.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Abd Aziz ialah PAS dan UMNO mungkin bersatu sekirannya UMNO bersedia mengubah dasarnya dari memperjuangkan bangsa melayu kepada memperjuangkan agama Islam. Bukannya bergabung kedua-dua parti yang bernama PAS dan UMNO.

Buletin Utama TV3 semalam 'kecoh' Tajol Rosli menyatakan UMNO Perak sanggup berkerjasama dengan PAS sebagai menyahut kata-kata Tuan Guru Nik Abd Aziz. Tajol Rosli juga berkata tawaran itu adalah permulaan ke arah perpaduan orang melayu dan gabungan ini boleh dimulakan di Perak.

Ini jelas menunjukkan kesalahfahaman mereka tentang apa yang dikatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz. Mereka mengambil peluang sebegini untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat yang kini semakin kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat.

MB Perak di dalam kenyataannya di akhbar dan televisyen menegaskan PAS tetap kekal dalam pakatan rakyat bersama DAP dan PKR bagi meneruskan kerjasama mentadbir kerajaan negeri selepas mendapat mandat rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu. Beliau juga menyatakan ketika ini tidak timbul isu PAS dan UMNO membentuk kerajaan negeri walaupun ada beberapa pertemuan bersemuka atau muqabalah antara pemimpin tertinggi parti PAS dan UMNO.

Apa yang membuatkan saya lebih gelihati ialah Tajol Rosli dalam kenyataannya menyatakan :
" Saya sanggup terima PAS menjadi Menteri Besar dan saya sendiri tidak akan duduk di dalam kerajaan negeri kerana kalau saya duduk dalam kerajaan akan dikatakan saya sebagai Exco yang menguasai kerajaan Perak. Saya akan menjadi ADUN biasa pada saya menjadi ADUN biasa dalam kerajaan lebih baik daripada ADUN biasa dalam pembangkang "

Secara peribadi saya yang paling rapat dengan Menteri Besar merasakan UMNO kini dalam keadaan tersepit dengan pelbagai isu kepimpinan mereka yang masih belum selesai. Mimpi ngeri kekalahan teruk pada pilihanraya umum ke-12 yang lalu masih menghantui mereka. Ternyata mereka masih belum mampu menerima kekalahan dan sentiasa berusaha untuk mencari silap Pakatan Rakyat bagi mencapai hasrat mereka kembali memerintah.

Apabila dilantik menjadi Menteri Besar, suami saya bukanlah Menteri Besar kepada PAS, DAP mahupun PKR, tetapi beliau memegang amanah sebagai Menteri Besar kepada seluruh rakyat negeri Perak. Semua ini adalah aturan Allah yang suami saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi Menteri Besar.

PAS dan UMNO mustahil akan bergabung. UMNO jelas memperjuangkan bangsa melayu dan ta'asub kepada bangsa sedangkan PAS memperjuangkan syariat Allah tanpa mengira bangsa.

Semoga Allah melindungi mereka-mereka yang ikhlas dan benar dalam memperjuangkan agamaNya di muka bumi ini. Sama-samalah kita berdoa semoga kebenaran dan keredhaan Allah akan sentiasa bersama kita.

Takbir! Allahuakbar ...


Suamiku pulang awal ...

Saya menunjukkan kepada suami kuarters pekerja yang terdapat di bahagian belakang kediaman

Hari ini suami saya pulang seawal jam 5.15 petang yang membuatkan saya amat terkejut dengan kepulangannya. Semenjak suami menjawat jawatan sebagai Menteri Besar selama hampir 5 bulan, inilah kali pertama beliau pulang awal dari pejabat. Hari-hari biasa sebelum ini suami akan tiba di rumah hampir waktu Maghrib ataupun paling awal sekitar 6.00 petang. Walaupun waktu pejabat tamat jam 5.00 petang, kebiasaannya suami akan berada di pejabat untuk menyiapkan kerja yang berbaki, melayan tetamu dan sebagainya.

Anak-anaklah yang paling ceria apabila terpandang abah mereka pulang awal. Selepas suami solat asar, anak-anak bersungguh mengajak abah mereka bermain bersama di luar rumah. Kebetulan pula permintaan dari suami untuk melawat keseluruhan kawasan kediaman yang belum pernah beliau tinjau dan ziarah sebelum ini disebabkan kekangan masa yang begitu sempit. Selama ini suami hanya sempat meninjau di kawasan halaman hadapan rumah dan pada hari ini beliau berkesempatan melihat ke semua kawasan.

Sesungguhnya hari ini hati saya amat lapang dan gembira kerana sudah lama saya dan anak-anak tidak berpeluang bersama beliau bersiar-siar. Jenuhlah hari ini saya menjadi 'tourist guide' pada suami menerangkan apa yang terdapat di dalam kawasan kediaman.

Di kawasan belakang rumah, terdapat rumah pekerja dan bersebelahannya penuh dengan tanaman-tanaman seperti nenas, buah naga, buah mangga serta sayur-sayuran. Memandangkan buah mangga sedang menguning di atas pokok, anak-anak ghairah memanjat dan mengait. Banyak juga hasil yang dapat pada petang ini. Saya suami dan anak-anak lama bersantai dan berbual mengenai bagaimana keadaan kebun dan dusun di kampung.

Lebih kurang jam 7.00 petang kami masuk ke dalam rumah dan terus bersiap untuk solat Maghrib berjemaah. Malam ini saya dan suami perlu menghadiri program di Dataran DBI Ipoh.

Anak-anak ceria memanjat pokok mangga

Mangga yang telah dipetik

Bersantai dan berbual di halaman belakang kediaman

Monday, July 28, 2008

Temujanji bersama wartawan

Hari ini tepat jam 11.30 pagi saya memenuhi temujanji bersama 2 orang wartawan dari Kuala Lumpur yang ingin menemuramah saya. Mereka dari Utusan Karya Sdn. Bhd bagi majalah Harmoni.

Banyak soalan-soalan yang telah diajukan terutama mengenai kehidupan baru saya sejak bergelar isteri Menteri Besar Perak. Selain itu, mereka ingin mendapat maklumat mengenai aktiviti dan program-program yang telah saya ikuti. Memandangkan Ramadhan hampir tiba, soalan mengenai persediaan puasa dan raya juga diajukan.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian mereka hadir ke kediaman untuk mengikuti perkembangan saya dan keluarga.

Mereka pulang tepat jam 3.00 petang.

Sepetang bersama pemimpin wanita

Semalam Ahad 27 Julai 2008 telah berlangsung program Sepetang bersama pemimpin wanita di Dewan Kediaman Rasmi MB Perak, Jalan Raja Dihilir, Ipoh. Program ini dianjurkan oleh Wanita Parti Keadilan Rakyat Perak. Lebih kurang 200 orang dari pelbagai bangsa dan lapisan umur telah menghadiri program ini.

Program ini dimulakan pada jam 4.00 petang dengan jamuan ringan. Majlis diteruskan dengan pidato yang disampaikan oleh 5 pemimpin wanita dengan tajuk Harapan Baru Untuk Wanita dalam Ekonomi, Pendidikan, Politik dan Remaja. Mereka ialah : Y.B Zuraida, Y.B Dr.Lo'Lo', Y.B Fuziah, Y.B Hee Yit Foong dan Puan Felacia Ling.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Y.A.B Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar kira-kira jam 7.00 malam.

Minum petang sebelum majlis bermula

Para pemidato

Saya dan suami di majlis perasmian penutup

Para hadirin

Saturday, July 26, 2008

Konvensyen PAS Perak kali ke-13


Hari ini 26 Julai 2008 saya telah menemani suami menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen PAS Perak Kali Ke-13 yang diadakan di Dewan Orang Ramai Rapat Setia, Ipoh. Program selama 2 hari yang bermula hari ini telah dirasmikan oleh Presiden PAS Y.B Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.

Dalam masa yang sama, tepat jam 10.00 pagi Dewan Muslimat Parlimen Kuantan hadir seramai 85 orang untuk kunjungan hormat dan ingin mengetahui perkembangan negeri Perak di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Dukacitanya saya dan suami tidak dapat bersama menyambut ketibaan mereka lantaran berada di dalam Konvensyen di Rapat Setia. Majlis tersebut telah diambil alih oleh wakil dari Unit Penerangan Kerajaan Negeri Perak iaitu Encik Faizal. Terima kasih di atas kunjungan mereka yang datang jauh dari negeri Pahang ke negeri Perak.

Tepat jam 12.00 tengahari saya pulang ke kediaman setelah selesai Majlis Perasmian. Saya disambut dengan rengekkan anak-anak yang kelaparan. Hanya mampu berehat seketika sebelum ke dapur bagi menyediakan makan tengahari. Menu yang saya telah masak hari ini ialah lauk kegemaran seisi keluarga- Gulai Ikan Tempoyak dan Ayam Masak Merah. Selain itu saya turut menyediakan menu wajib iaitu sedikit sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

Selepas waktu asar saya dikunjungi oleh sahabat lama suami saya dari Kuala Lumpur bersama isterinya. Banyak cerita-cerita lama menjadi bualan kami sebelum mereka berangkat pulang selepas solat Maghrib.

Tepat jam 8.15, seisi keluarga berkumpul untuk makan malam sebelum saya menyiapkan persiapan suami untuk ke Stadium Mini Manjoi pada jam 9.15 malam bagi menyampaikan Ceramah Perdana bersama Y.B Ustaz Haji Nasharuddin b. Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS Pusat (mengantikan Y.B Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang yang keuzuran) dan Ustaz Haji Ahmad b Awang selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.

Begitulah aktiviti saya sepanjang hari ini. Semoga malam ini hilang segala keletihan selepas mendapat lena dan rehat yang cukup supaya saya cergas untuk menghadapi aktiviti dan program keesokan hari.

Bersama semua pimpinan-pimpinan. Dari kiri Ustaz Hj. Abu Bakar Hussain, Ustaz Hj Ahmad Awang, Y.B Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Y.A.B Dato' Seri Ir Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin, Haji Asmuni Awi, saya, Pn. Rosiah dah Ustazah Bariah Alang Sapri


Muslimin dan muslimat serta jemputan- jemputan memenuhi ruang dewan


Menjamu selera selepas Majlis Perasmian. Turut bersama saya di meja makan iaitu Y.B Hee (Timbalan Speaker DUN Perak)

Thursday, July 24, 2008

Nilai Masa

Alhamdulillah hari ini terdapat kelapangan masa untuk saya ke pasar membeli barang keperluan di dapur setelah hampir seminggu saya sibuk dengan program dan rutin harian. Setelah menghantar anak bongsu ke PASTI saya ditemani oleh anak sulung dan menantu telah pergi ke Pasar Gunong Rapat. Selama ini, segala keperluan rumah dan dapur saya uruskan sendiri tanpa ada arahan kepada mana-mana pembantu saya di kediaman dan memang beginilah rutin kehidupan saya sebelum menjadi isteri MB. Bezanya, dahulunya setiap hari boleh ke pasar, sekarang sekali borong keperluan untuk seminggu.

Suasana di Pasar Gunong Rapat, Ipoh

Bersama anak sulung memilih ikan

Teruja melihat TEMU di pasar. Ulam yang amat digemari oleh suami

Setelah mengemas di dapur dan menyediakan makan tengahari untuk anak-anak yang akan pulang dari sekolah sempat saya berehat sebentar sebelum bersiap ke Kinta City untuk membeli sedikit keperluan harian.

Si bongsu ceria mendapat aiskrim yang sekian lama tidak dirasai

Sewaktu tiba di kediaman dari Kinta City waktu hampir Asar. Setelah solat dan menjamah sedikit makanan saya sekeluarga sempat menziarahi pemandu suami di Ipoh Specialist Centre. Alhamdulillah keadaan beliau bertambah baik dan saya doakan beliau cepat sembuh.

Kami sekeluarga menziarahi En. Othman (berbaju merah)

Si bongsu dan kakaknya ceria dapat berjumpa dengan 'Tok' (panggilan si bongsu kepada En. Othman) setelah seminggu tidak berjumpa

Wednesday, July 23, 2008

Menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas Pemerintahan D.Y.M.M Sultan Kedah

Pada hari semalam saya mengiringi suami ke negeri Kedah Darul Aman untuk menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah.

Saya bertolak dari kediaman di Ipoh jam 1.00 tengahari. Setibanya di Alor Star kami ditempatkan di sebuah hotel dan dapat berehat seketika sebelum bergerak menuju ke lapangan terbang untuk menyambut ketibaan D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak. Dalam masa yang sama sultan-sultan dari negeri yang lain turut tiba dan disambut oleh wakil kerajaan masing-masing.

Tetamu-tetamu VVIP terdiri daripada Yang DiPertuan Agong, sultan-sultan dan Perdana Menteri masuk ke dewan mulai jam 8.00 hingga 10.00 malam. Seterusnya acara dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan disusuli dengan persembahan Gamelan oleh kumpulan The Rhythm In Bronze. Majlis diteruskan dengan santapan sambil diiringi oleh hiburan.

Acara tamat jam 12.00. Saya serta suami bergerak pulang dan tiba di Ipoh pada jam 3.30 pagi.


Menyambut ketibaan D.Y.M.M Sultan Perak

Suasana di dalam Istana Anak Bukit sebelum majlis bermula

Cenderahati Majlis Sambutan Jubli Emas Pemerintahan D.Y.M.M Sultan Kedah

Friday, July 18, 2008

Sambutan Hari Ibu anjuran PRIM

Pada 17 Mei 2008 yang lalu, saya telah menghadiri jemputan sambutan Hari Ibu anjuran Persatuan India Muslim Perak (PRIM) yang telah diadakan di Y.M.C.A, Ipoh.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dari wakil Masjid India Muslim Ar-Rahman, Pusing. Seterusnya majlis disempurnakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Maulavi Al-Hafiz Jiaul Haq juga dari Masjid India Muslim Ar-Rahman.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan Ketua Wanita PRIM iaitu Puan Nabisah kemudian ucapan dari Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak Cik Chong Phaik Kee dan majlis perasmian telah disempurnakan sendiri oleh saya.

Antara perkara-perkara yang telah saya tekankan di dalam ucapan pada malam tersebut ialah:

1. Erti pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah diminta balasan sebaliknya kasih sayang dan nilai-nilai keimanan cukup baginya memenuhi keberkatan cinta ibu dan anak.

2. Seorang ibu wajib peka terhadap pendidikan akhlak dan moral anak-anaknya bermula dari rumah.

3. Konsep berhikmah dalam menegur setiap kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak supaya setiap teguran dapat diterima dengan baik umpama 'menarik rambut di dalam tepung'.

4. Memberi pandangan terhadap keruntuhan akhlak generasi muda Islam hari ini yang hanyut dalam pemikiran dan kehidupan bebas seolah-olah tiada kecintaan kepada cara hidup Islam.

5. Menyatakan bahawa sumber pembinaan akhlak untuk membentuk personaliti ummah yang rabbani sudah sedia terhidang di dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi warisan dan khazanah suluhan hidup umat Islam yang sepatutnya menjadi contoh taudalan umat manusia.

Program ini mendapat sambutan yang amat baik dengan kehadiran hampir 400 orang seterusnya program ini telah disiarkan liputannya di dalam siri Qudwah RTM 2 jam 5.30 petang selama 30 minit.

Ketika tiba di dewan program dan disambut oleh Cik Chong Phaik Kee Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak dan diiringi Puan Nabisah binti Mydin Ketua Wanita PRIM

Menerima jambangan bunga sewaktu tiba

Memberi ucapan dan merasmikan program

Hadirin sedang menjamu selera

Sesi penyampaian cenderahati

Pemenang Anugerah Ibu Tunggal Mithali

Sesi memotong kek bersama pemenang ibu mithali

Cabutan bertuah untuk para hadirin

Bergambar bersama ibu-ibu tunggal

Bergambar bersama tetamu VIP

Bergambar bersama pimpinan PRIM

Thursday, July 17, 2008

Genap 4 bulan

Pada hari ini genaplah 4 bulan kerajaan Pakatan Rakyat menerima amanah memerintah negeri Perak Darul Ridzuan yang di sayangi. Selama 4 bulan ini jugalah saya sekeluarga menghadapi pelbagai jenis ujian dan dugaan dari pelbagai aspek.

Mungkin ramai yang merasakan menjadi isteri Menteri Besar adalah satu kebanggaan sedangkan pada hakikatnya ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang sangat berat untuk dipikul dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Tanggungjawab sebagai hamba Allah pun tidak sempurna dilakukan apatah lagi ditambah dengan amanah yang baru.

Mutakhir ini, terdapat desas desus mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan terkubur pada bila-bila masa sahaja. Kemenangan Pakatan Rakyat adalah satu Qada' dan Qadar yang telah ditentukan oleh Allah melalui sistem pilihanraya di mana rakyat membuat keputusan untuk memilih pemimpin-pemimpin mereka. Sekiranya Allah tidak mengizinkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat terus memerintah maka bila-bila masa sahaja kerajaan ini akan tumbang.

Pada hari ini, ramai dikalangan muslim di Perak berpuasa dan melakukan Iftar Jama'ie seterusnya solat hajat beramai-ramai di Stadium Ipoh dan mendengar sedikit tazkirah yang disampaikan oleh Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak. Program ini dijalankan dengan harapan semua rakyat tidak ghairah dengan ujian kemenangan yang telah diberikan disamping memberi kekuatan fizikal dan rohani kepada semua pimpinan agar bijak, adil dan amanah dalam menjaga negeri Perak. Semoga dengan program ini akan mengeratkan lagi ukhuwwah sesama kita dan juga pimpinan.

Gambar-gambar kenangan ketika Majlis Mengangkat Sumpah Menteri Besar Perak yang ke-10

Tuesday, July 15, 2008

Muzakarah Cendiakawan Islam 2008

Pada 19-21 Mei 2008 yang lalu satu Muzakarah telah diadakan di Ipoh Perak. Muzakarah tersebut dinamakan Muzakarah Cendiakawan Islam 2008 bersempena Sambutan Hari Keputeraan ke-80 D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak.

Majlis 3 hari tersebut telah dijalankan upacara perasmiannya oleh Sultan Perak sendiri bertempat di Dewan Banquet SUK manakala bengkel dan resolusi telah diadakan di Impiana Casuarina Hotel Ipoh.

Program yang bertemakan "Pembentukan Modal Insan Terbilang Ke Arah Negeri Perak Maju" telah dihadiri oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Perak, Mufti-mufti seluruh Malaysia, Pengarah-pengarah Jabatan Agama seluruh Malaysia, Ahli-ahli Majlis Agama seluruh Malaysia, Ketua-ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Persekutuan, Ahli-ahli Akademik dan individu-individu berkenaan dan NGO's.

4 objektif utama program tersebut adalah seperti berikut :

1. Menawarkan ruang muzakarah kepada cendiakawan Islam bagi memberikan pandangan dan idea dalam proses pembangunan modal insan.

2. Membentuk satu modul pembinaan modal insan dalam pengertian dan acuan agama, bangsa dan negara sesuai dengan sistem Ilahiyah

3. Medan bagi perbincangan dari umat bagi membentuk kesedaran tanggungjawab diri dari semua profession dan peringkat masyarakat dalam proses pembinaan Modal Insan.

4. Membentuk kesedaran semua pihak bahawa insan adalah aset teristimewa dan berharga yang perlu dihargai dan dijagai dalam memacu kemajuan di dunia dan akhirat

3 Kertas Kerja telah dibentang di dalam Muzakarah tersebut :

"Negara Maju: Model al-Madinah al-Fadhilah"
oleh Y.Bhg Dato' Dr. Sidek bin Hj Fadzil
Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

"Modal Insan: Strategi dan Harapan ke arah Negara Maju"
oleh Tuan Haji Mohd Azmi Abd Hamid
Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS)

"Islam: Penjana Insan Peneraju, Ke arah negara Maju"
oleh Y.Bhg Prof Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Abdul Majid
Pensyarah Jabatan Feqh dan Usul, UIAM

manakala pembentangan Pra-Muzakarah bertajuk "Modal Insan: Realiti Umat Masa kini" telah disampaikan oleh Tuan Haji Azmi bin Abdul Hamid

Gambar-gambar sewaktu Majlis Perasmian program pada 20 Mei 2008

Mengiringi D.Y.M.M Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun ke dewan majlis

MB Perak berucap sebelum perasmian disempurnakan oleh D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak

Jamuan ringan selepas Majlis Perasmian