Tuesday, September 29, 2009

Rumah Terbuka PAS Kawasan & Ahli Parlimen Bukit Gantang











Monday, September 28, 2009

Perasmian Festival Tang Long DAP Buntong

Malam 26 September saya bersama suami dan anak-anak telah menghadiri satu program anjuran DAP Buntong iaitu Festival Tang Long. Ia telah dimulakan pada petang hari dan kami sekeluarga hadir di sebelah malam untuk majlis perasmian.

Anak-anak teruja untuk melihat Tang Long walaubagaimanapun hanya majlis perasmian dan jamuan ringan diadakan pada sebelah malamnya.

Suami telah menyampaikan ucapan dihadapan ribuan tetamu-tetamu yang hadir. Majlis tamat sekitar jam 10.20 malam.



Sunday, September 27, 2009

Eid Mubarak 1430 Hijrah

Keluarga Jamaluddin

Bersama Emak Mertua, suami, anak-anak, menantu dan cucu

Hari Raya kedua baru-baru ini keluarga Jamaluddin (semua adik beradik sebelah suami) telah berkumpul di Kampung Ayer Itam Labu untuk meraikan aidilfitri bersama. Alhamdulillah tahun ini lengkap 12 adik beradik dapat berkumpul. Majlis dimulakan dengan ucapan abang sulung seterusnya semua adik beradik bersalaman dan bermaafan. Jamuan makan tengahari diadakan sejurus selepas itu dan diakhiri dengan sesi bergambar.

Sepanjang minggu ini saya dan suami banyak menerima tetamu yang datang beraya dirumah. Kebanyakkannya sanak saudara dan kenalan rapat.

Raya tahun ini semua anak-anak saya dapat pulang dan berkumpul untuk sama-sama meraikan aidilfitri setelah hampir 6 tahun 3 orang anak saya masing-masing beraya diperantauan.

Dikesempatan ini saya ingin memohon maaf kepada semua terutama kepada pengunjung setia blog ini di atas segala salah silap dan apa jua yang menguris hati secara sengaja ataupun tidak.

Dikemeriahan kita merayakan Aidilfitri janganlah lupa untuk berpuasa Sunat 6 Syawal dimana telah dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

Salam Aidilfitri.

Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadhan

Hari ini saya sekeluarga bertolak ke KLIA untuk menyambut ketibaan anak kedua yang pulang bercuti dari Jordan. Sejak awal pagi saya sibuk mengemas begitu juga anak-anak yang tidak sabar menunggu kepulangan abangnya. Dari KLIA kami sekeluarga terus menuju ke Kampung Air Itam Labu di Kampar untuk berbuka puasa bersama ibu mertua dan sanak saudara yang pulang bercuti menyambut 1 Ramadhan di kampung.

Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadhan yang mulia ini saya mengucapkan selamat menjalani ibadat puasa buat semua umat Islam. Rebutlah peluang sebanyak yang mungkin untuk membuat kebajikan dan menebus segala kelalaian dan kealpaan sebelun ini

Semoga Ramadhan kali ini akan membawa lebih pengertian dalam peningkatan amal ibadat kita selama ini disamping meningkatkan lagi keimanan dan kataqwaan kita sebagai hamba Allah

Wednesday, July 22, 2009

Pemergian seorang lagi insan tersayang

Al-Fatihah buat arwah abang saya yang ketiga iaitu Mohammad bin Taat, 60 tahun, yang telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 10.45 malam semalam.

Saya menerima berita kematian beliau dari adik bongsu di mana selama ini menjaga arwah abang yang telah lama sakit. Seminggu yang lalu keadaan beliau bertambah buruk dan adik telah membawa ke HKL.

Kematian beliau semalam menjadikan tahun ini saya kehilangan 3 orang insan-insan tersayang iaitu abang sulung, bonda dan abang yang ketiga.

Semoga mereka ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang beriman

Al-Fatihah.

Wednesday, June 03, 2009

Majlis Doa Selamat

Semalam selepas Isyak saya sekeluarga melapangkan masa ke rumah jiran sebelah rumah yang mengadakan sedikit majlis doa selamat menyambut kelahiran anak ketiganya. Anak lelaki diberi nama Muhamad Nizar.

Majlis dimulakan dengan tahlil dan doa selamat, jamuan dan doa untuk bayi, belah mulut serta cukur jambul dan bersurai kira-kira jam 10.00 malam.

Disebabkan jadual suami yang padat (kebiasaan akan pulang ke rumah sekitar jam 1-2 pagi) menyebabkan peluang bertemu jiran-jiran amatlah sukar. Alhamdulillah semalam dapat bertemu dengan sebilangan ahli-ahli kariah dan sempat juga dia berbual panjang mengenai isu-isu semasa terutama politik di Perak.



Tuesday, June 02, 2009

Cuti Sekolah & Kenduri


Cuti sekolah sudah bermula dan menjadi kebiasaan musim sebegini ramai yang melangsungkan perkahwinan. Banyak jemputan ke majlis perkahwinan yang kami terima namun tidak dapat menghadirinya ke semua tempat.

Hujung minggu baru-baru ini saya sekeluarga berkesempatan menghadiri 3 kenduri kesyukuran perkahwinan. Satu majlis di Rapat Setia dan dua majlis di Kampar. Kesempatan berada di Kampar saya turut ke Air Itam Labu menziarahi emak mertua.

Terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang menhantar kad jemputan. InsyaAllah jika berkelapangan masa saya dan suami akan menghadirinya.

Monday, June 01, 2009

Genap 3 bulan pemergian bonda


28 Mei 2009 genap 3 bulan pemergian bonda tercinta. Arwah bonda pergi meninggalkan kami selama-lamanya ketika keadaan kemelut politik yang serius melanda negeri Perak. Pada ketika itu kami sekeluarga baru seminggu berpindah dari kediaman Menteri Besar dan masih dalam keadaan kelam kabut menguruskan pelbagai urusan pemindahan.

Pada hari kematian bonda, suami berceramah di Kedah, anak sulung dan menantu berada di kampung Parit Buntar dan saya pula menerima panggilan daripada kakak yang menjaga arwah bonda mengatakan arwah bonda pada ketika itu telah nazak.

Pada ketika itu saya meminta bantuan dari petugas Unit Amal untuk membawa saya dan anak-anak terus ke Tapah. Anak sulung dan menantu terus bertolak dari Parit Buntar ke Tapah. Saya tiba di Tapah pada jam 9.00 malam dan sempat bersama hayat bonda lebih kurang satu jam sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.05 malam.

Suami ketika itu baru dijemput untuk menyampaikan ceramah dan mendapat berita dari kampung tentang kematian bonda. Selesai ceramah suami dan pengiring terus bergegas pulang ke Tapah dan tiba sekitar jam 3.00 pagi.

Saya dan ahli keluarga telah merancang untuk mengadakan sedikit tahlil dan doa selamat dalam masa terdekat ini. Semoga ruh bonda tercinta ditempatkan dikalangan mereka-mereka yang beriman. Al-Faatihah.

Tuesday, May 12, 2009

Syukur Di Atas Kemenangan

Saya bertolak dari Ipoh bersama suami dan pengiring tepat jam 12.05 tengahari menuju ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kalau tidak silap sudah 7 kali sebelum ini suami berulang alik dari Ipoh ke K.L berjuang untuk kes di mahkamah dan hanya pada hari ini saya dapat bersama beliau ketika keputusan diumumkan.

Saya bersyukur kehadrat Ilahi di atas kemenangan yang diberi. Saya sentiasa menyokong perjuangan dan prinsip yang di bawa oleh suami dan saya tidak pernah nampak apa salahnya dalam perjuangan yang dia bawa untuk perjuangan Islam. Kemenangan di Mahkamah Tinggi petang tadi adalah kemenangan rakyat Perak khasnya dan Malaysia amnya.

Dalam kesempatan masa berada di Kuala Lumpur suami turut dijemput menyampaikan Talk Show berkenaan Islam di akhir zaman di Masjid Al-Azim. Orang ramai hadir untuk mendengar kupasan topik tersebut. Suami bergandingan dengan Ustaz Riduan Md Nor.

Pulang ke Ipoh kami diiringi oleh beberapa kereta dari Kuala Lumpur untuk tujuan keselamatan dan kami tiba di Ipoh pada jam 10.00 malam. Suami ada perjumpaan dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan Mesyuarat Tergempar Exco.


Monday, May 11, 2009

Ceramah Isu Perak & PPSMI

Ceramah mengenai Isu Politik di Perak dan Isu PPSMI telah diadakan di Meru 2B Jelapang. Saya turut meluangkan masa menemani suami yang baru sahaja pulang dari Pahang.

Turut menyampaikan ceramah ialah tokoh sastera negara yang kini sudah banyak turun padang memperjuangkan untuk memansuhkan PPSMI. Cikgu Azmi dari TERAS turut bersama menyampaikan fikrah kepada ribuan yang hadir.

Saturday, May 09, 2009

Temasya Sukan PASTI Kawasan Gopeng ke-8


Pagi tadi saya berkesempatan meluangkan masa bersama anak-anak PASTI di Temasya Sukan PASTI Kawasan Gopeng. Anak bongsu saya Faakhirah yang telah berusia 5 tahun turut bersama mengambil bahagian. Saya tiba bersama suami sekitar jam 9.00 pagi dan bertemu dengan pihak penganjur dan ibu bapa yang hadir. Saya berada sehingga akhir program namun suami terpaksa meninggalkan majlis untuk ke Teluk Intan.

Di dalam program pagi tadi Y.B Simpang Pulai Chan Ming Kai turut hadir dan memberikan ucapan. Perasmian pula telah disempurnakan oleh Hashan Aladi selaku Pengarah PASTI Perak.

Perjalanan program berjalan dengan baik dan suasana meriah dengan telatah anak-anak. Majlis bersurai sekitar jam 1.00 petang. Gambar-gambar boleh dilihat di blog www.ajijoi.blogspot.com

Friday, May 01, 2009

Menghadiri Mesyuarat Dewan Muslimat PAS Bukit Gantang & Bantuan Untuk Fakir Miskin


Hari ini Jumaat 1 Mei 2009 saya melapangkan masa ke Bukit Gantang bagi memenuhi beberapa jemputan dan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada mereka yang miskin dan hidup dalam keadaan susah. Saya telah meminta bantuan dari pihak muslimat PAS Negeri dan Kawasan untuk melancarkan lagi program saya di sana. Mereka turut menyediakan barang-barang sumbangan sejak semalam lagi untuk disalurkan kepada mereka yang berhak menerima.

Sebelum program kunjungan berjumpa rakyat saya terlebih dahulu menghadiri Mesyuarat Agung Muslimat PAS Kawasan Bukit Gantang yang telah diadakan di Markaz Bukit Cempedak.

Dari Mesyuarat Agung saya terus ke Kampung Cheh menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran. Saya juga telah dibawa ke satu kawasan di Terong di mana kawasan tersebut menjadi tempat operasi mencuri pasir. Saya turut melawat tempat penternakan itik dan ikan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga cina miskin.

Dalam kesempatan masa yang ada saya turut bertemu Ketua Kampung Osman Hassan di dalam Mukim Terong. Kemudianya saya turut di bawa melawat satu keluarga cina yang baru kematian ahli keluarganya di Air Terjun.

Misi menyampaikan bantuan kepada fakir miskin diteruskan sejurus selepas itu dengan menziarahi keluarga India di Taiping Rubber Plantation, Jalan Lombong dan kemudianya kami bergerak pula ke kampung melayu untuk menyampaikan sumbangan.

Apa yang dapat saya simpulkan pada lawatan saya hari ini, masih ramai rakyat yang hidup dalam keadaan daif dan susah. Saya selalu bayangkan wang jutaan ringgit yang dibazirkan ke arah lain tanpa ada manfaat boleh disalurkan kepada mereka yang sangat memerlukan untuk meneruskan hidup. Semoga ada usaha yang berterusan dari semua pihak untuk membantu golongan sebegini.

Mangsa Kebakaran di Kampung Cheh

Cina Miskin & Anaknya yang kurang upaya

Kematian kaum Cina Buddha di Air Terjun

Bantuan untuk keluarga India miskin di Jalan Lombong

Sunday, April 26, 2009

Gambar Cucu

Ramai yang menelefon dan berSMS mengucap tahniah di atas kehadiran cucu sulung kami. Dan di atas permintaan mereka yang ingin melihat wajah si comel saya paparkan beberapa keping gambar cucu di sini.

Perkembangan terkini keluarga, saya kembali sibuk sebagai surirumah di samping mengikuti suami ke beberapa program terutamanya kenduri kendara dan jamuan kesyukuran di Bukit Gantang. Suami pula saban hari sibuk dari awal pagi hingga lewat malam memandangkan amanah kini semakin bertambah.

Dikesempatan ini saya ingin memohon maaf di atas undangan-undangan yang tidak dapat saya penuhi daripada kawasan-kawasan yang saban hari menelefon supaya saya turut serta bersama. InsyaAllah jika berkesempatan kita bertemu di lain-lain program.

Menyambut kehadiran cucu di hari pertama (31 Mac 2009)

Nuur Insyiraah berusia 2 hari

Hari ke-13 setelah rambutnya dicukur pada hari ke-7

Tuesday, April 21, 2009

Terima Kasih Kepada Semua Pengundi & Petugas PRK Bukit Gantang

Ucapan jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas-petugas jentera Pilihanraya Kecil Bukit Gantang yang telah bertungkus lumus dan berkorban masa dan tenaga serta wang ringgit dalam memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang.

Saya secara peribadi ingin merakamkan setinggi kesyukuran ke hadrat ilahi di atas kemenangan ini dan ucapan penghargaan kepada semua jentera yang bertugas secara langsung atau tidak. Khusus saya ucapkan kepada unit keselamatan yang mengiringi saya sepanjang tempoh berkempen.

Semoga dengan kemenangan yang telah Allah berikan kepada Pakatan Rakyat di Bukit Gantang akan mengingatkan kita tentang amanah yang wajib dipikul untuk memartabatkan Islam.

Gambar-gambar kenangan ketika turut bersama berkempen
di Bukit Gantang (2-6 April 2009
)