Tuesday, February 03, 2009

Majlis Pelancaran Setem


Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Azlan Shah, Pos Malaysia Berhad telah menerbitkan Setem Kenang-Kenangan dan Sampul Surat Hari Pertama. Penerbitan tanda mata ini sebagai penyataan dan sembah kasih seluruh rakyat kepada Sultan yang memerintah selama 25 tahun dengan penuh kedaulatan dan kemakmuran.

Majlis pelancaran setem tersebut telah diadakan di Dewan Bandaran Ipoh yang turut dihadiri oleh Paduka Seri Sultan Azlan dan Permaisuri Bainun. Turut bersama Raja Muda dan Raja Puan Besar serta Raja Dihilir dan Raja Puan Muda.

Pos Malaysia Berhad, Persatuan Filateli Malaysia dan Yang Berbahagia Datuk Dr. Chin Chein Tet turut mengadakan pameran khas bersempena istiadat gilang gemilang ini. Setem yang dipamerkan meliputi jangka masa selama 130 tahun bermula pada tahun 1881 sehingga 2009. Setem-setem bersejarah digandingkan bersama setem-setem Jubli Perak Pemerintahan Sultan Azlan.


Pameran ini bertujuan menyampaikan aspek-aspek penting yang terdapat dalam setem-setem lama termasuk nilai sejarah dan warisan perkhidmatan pos negeri ini. Pameran dan ceramah dikendalikan bermula 4 Feb dan berakhir 8 Feb 2009. Antara lain memfokuskan minat mengumpul setem merupakan aktiviti sihat yang harus dipupuk terutama untuk generasi muda.

Di dalam program tadi Pengerusi Pos Malaysia Berhad turut memberi ucapan sebelum titah pelancaran oleh Sultan Azlan. Persembahan Koir oleh SMK Ave Maria Convent Ipoh turut diadakan. Sebelum majlis berakhir, semua tetamu telah melawat tapak pameran setem.

No comments: