Monday, June 01, 2009

Genap 3 bulan pemergian bonda


28 Mei 2009 genap 3 bulan pemergian bonda tercinta. Arwah bonda pergi meninggalkan kami selama-lamanya ketika keadaan kemelut politik yang serius melanda negeri Perak. Pada ketika itu kami sekeluarga baru seminggu berpindah dari kediaman Menteri Besar dan masih dalam keadaan kelam kabut menguruskan pelbagai urusan pemindahan.

Pada hari kematian bonda, suami berceramah di Kedah, anak sulung dan menantu berada di kampung Parit Buntar dan saya pula menerima panggilan daripada kakak yang menjaga arwah bonda mengatakan arwah bonda pada ketika itu telah nazak.

Pada ketika itu saya meminta bantuan dari petugas Unit Amal untuk membawa saya dan anak-anak terus ke Tapah. Anak sulung dan menantu terus bertolak dari Parit Buntar ke Tapah. Saya tiba di Tapah pada jam 9.00 malam dan sempat bersama hayat bonda lebih kurang satu jam sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.05 malam.

Suami ketika itu baru dijemput untuk menyampaikan ceramah dan mendapat berita dari kampung tentang kematian bonda. Selesai ceramah suami dan pengiring terus bergegas pulang ke Tapah dan tiba sekitar jam 3.00 pagi.

Saya dan ahli keluarga telah merancang untuk mengadakan sedikit tahlil dan doa selamat dalam masa terdekat ini. Semoga ruh bonda tercinta ditempatkan dikalangan mereka-mereka yang beriman. Al-Faatihah.

Tuesday, May 12, 2009

Syukur Di Atas Kemenangan

Saya bertolak dari Ipoh bersama suami dan pengiring tepat jam 12.05 tengahari menuju ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kalau tidak silap sudah 7 kali sebelum ini suami berulang alik dari Ipoh ke K.L berjuang untuk kes di mahkamah dan hanya pada hari ini saya dapat bersama beliau ketika keputusan diumumkan.

Saya bersyukur kehadrat Ilahi di atas kemenangan yang diberi. Saya sentiasa menyokong perjuangan dan prinsip yang di bawa oleh suami dan saya tidak pernah nampak apa salahnya dalam perjuangan yang dia bawa untuk perjuangan Islam. Kemenangan di Mahkamah Tinggi petang tadi adalah kemenangan rakyat Perak khasnya dan Malaysia amnya.

Dalam kesempatan masa berada di Kuala Lumpur suami turut dijemput menyampaikan Talk Show berkenaan Islam di akhir zaman di Masjid Al-Azim. Orang ramai hadir untuk mendengar kupasan topik tersebut. Suami bergandingan dengan Ustaz Riduan Md Nor.

Pulang ke Ipoh kami diiringi oleh beberapa kereta dari Kuala Lumpur untuk tujuan keselamatan dan kami tiba di Ipoh pada jam 10.00 malam. Suami ada perjumpaan dengan pimpinan Pakatan Rakyat dan Mesyuarat Tergempar Exco.


Monday, May 11, 2009

Ceramah Isu Perak & PPSMI

Ceramah mengenai Isu Politik di Perak dan Isu PPSMI telah diadakan di Meru 2B Jelapang. Saya turut meluangkan masa menemani suami yang baru sahaja pulang dari Pahang.

Turut menyampaikan ceramah ialah tokoh sastera negara yang kini sudah banyak turun padang memperjuangkan untuk memansuhkan PPSMI. Cikgu Azmi dari TERAS turut bersama menyampaikan fikrah kepada ribuan yang hadir.

Saturday, May 09, 2009

Temasya Sukan PASTI Kawasan Gopeng ke-8


Pagi tadi saya berkesempatan meluangkan masa bersama anak-anak PASTI di Temasya Sukan PASTI Kawasan Gopeng. Anak bongsu saya Faakhirah yang telah berusia 5 tahun turut bersama mengambil bahagian. Saya tiba bersama suami sekitar jam 9.00 pagi dan bertemu dengan pihak penganjur dan ibu bapa yang hadir. Saya berada sehingga akhir program namun suami terpaksa meninggalkan majlis untuk ke Teluk Intan.

Di dalam program pagi tadi Y.B Simpang Pulai Chan Ming Kai turut hadir dan memberikan ucapan. Perasmian pula telah disempurnakan oleh Hashan Aladi selaku Pengarah PASTI Perak.

Perjalanan program berjalan dengan baik dan suasana meriah dengan telatah anak-anak. Majlis bersurai sekitar jam 1.00 petang. Gambar-gambar boleh dilihat di blog www.ajijoi.blogspot.com

Friday, May 01, 2009

Menghadiri Mesyuarat Dewan Muslimat PAS Bukit Gantang & Bantuan Untuk Fakir Miskin


Hari ini Jumaat 1 Mei 2009 saya melapangkan masa ke Bukit Gantang bagi memenuhi beberapa jemputan dan mengadakan kunjungan ke kampung-kampung untuk menyalurkan sedikit bantuan kepada mereka yang miskin dan hidup dalam keadaan susah. Saya telah meminta bantuan dari pihak muslimat PAS Negeri dan Kawasan untuk melancarkan lagi program saya di sana. Mereka turut menyediakan barang-barang sumbangan sejak semalam lagi untuk disalurkan kepada mereka yang berhak menerima.

Sebelum program kunjungan berjumpa rakyat saya terlebih dahulu menghadiri Mesyuarat Agung Muslimat PAS Kawasan Bukit Gantang yang telah diadakan di Markaz Bukit Cempedak.

Dari Mesyuarat Agung saya terus ke Kampung Cheh menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran. Saya juga telah dibawa ke satu kawasan di Terong di mana kawasan tersebut menjadi tempat operasi mencuri pasir. Saya turut melawat tempat penternakan itik dan ikan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga cina miskin.

Dalam kesempatan masa yang ada saya turut bertemu Ketua Kampung Osman Hassan di dalam Mukim Terong. Kemudianya saya turut di bawa melawat satu keluarga cina yang baru kematian ahli keluarganya di Air Terjun.

Misi menyampaikan bantuan kepada fakir miskin diteruskan sejurus selepas itu dengan menziarahi keluarga India di Taiping Rubber Plantation, Jalan Lombong dan kemudianya kami bergerak pula ke kampung melayu untuk menyampaikan sumbangan.

Apa yang dapat saya simpulkan pada lawatan saya hari ini, masih ramai rakyat yang hidup dalam keadaan daif dan susah. Saya selalu bayangkan wang jutaan ringgit yang dibazirkan ke arah lain tanpa ada manfaat boleh disalurkan kepada mereka yang sangat memerlukan untuk meneruskan hidup. Semoga ada usaha yang berterusan dari semua pihak untuk membantu golongan sebegini.

Mangsa Kebakaran di Kampung Cheh

Cina Miskin & Anaknya yang kurang upaya

Kematian kaum Cina Buddha di Air Terjun

Bantuan untuk keluarga India miskin di Jalan Lombong

Sunday, April 26, 2009

Gambar Cucu

Ramai yang menelefon dan berSMS mengucap tahniah di atas kehadiran cucu sulung kami. Dan di atas permintaan mereka yang ingin melihat wajah si comel saya paparkan beberapa keping gambar cucu di sini.

Perkembangan terkini keluarga, saya kembali sibuk sebagai surirumah di samping mengikuti suami ke beberapa program terutamanya kenduri kendara dan jamuan kesyukuran di Bukit Gantang. Suami pula saban hari sibuk dari awal pagi hingga lewat malam memandangkan amanah kini semakin bertambah.

Dikesempatan ini saya ingin memohon maaf di atas undangan-undangan yang tidak dapat saya penuhi daripada kawasan-kawasan yang saban hari menelefon supaya saya turut serta bersama. InsyaAllah jika berkesempatan kita bertemu di lain-lain program.

Menyambut kehadiran cucu di hari pertama (31 Mac 2009)

Nuur Insyiraah berusia 2 hari

Hari ke-13 setelah rambutnya dicukur pada hari ke-7

Tuesday, April 21, 2009

Terima Kasih Kepada Semua Pengundi & Petugas PRK Bukit Gantang

Ucapan jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas-petugas jentera Pilihanraya Kecil Bukit Gantang yang telah bertungkus lumus dan berkorban masa dan tenaga serta wang ringgit dalam memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Parlimen Bukit Gantang.

Saya secara peribadi ingin merakamkan setinggi kesyukuran ke hadrat ilahi di atas kemenangan ini dan ucapan penghargaan kepada semua jentera yang bertugas secara langsung atau tidak. Khusus saya ucapkan kepada unit keselamatan yang mengiringi saya sepanjang tempoh berkempen.

Semoga dengan kemenangan yang telah Allah berikan kepada Pakatan Rakyat di Bukit Gantang akan mengingatkan kita tentang amanah yang wajib dipikul untuk memartabatkan Islam.

Gambar-gambar kenangan ketika turut bersama berkempen
di Bukit Gantang (2-6 April 2009
)















Tuesday, March 31, 2009

Cucu Pertama Selamat Dilahirkan

Alhamdulillah cucu pertama saya selamat di lahirkan di Pusat Rawatan Islam Ar-Ridzuan, Ipoh tepat jam 4.56 petang. Bayi perempuan seberat 3.1 Kilogram berada dalam keadaan sihat begitu juga ibunya.


Monday, March 30, 2009

Hari Penamaan Calon PRK Bukit Gantang


Selepas diumumkan oleh pimpinan PAS Pusat suami akan bertanding di Bukit Gantang saya berkesempatan beberapa hari turut serta bersama suami bertemu dengan pengundi-pengundi di beberapa kawasan di Bukit Gantang. Alhamdulillah dari pandangan saya mood pengundi-pengundi lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat. Ini terbukti dengan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat yang berganda lagi banyak dari penyokong Barisan Nasional. Sokongan moral yang cukup hebat dan ajaib ini tidak boleh dinafikan oleh pihak lawan walaupun pelbagai usaha dilakukan supaya bilangan penyokong dihadkan.

Alhamdulillah proses penamaan calon berjalan lancar. Setelah diumumkan, suami akan bertanding menentang Ismail Safian dari Barisan Nasional dan seorang lagi calon bebas Kamarul Ramizu. Saya yang turut berada di pusat penamaan calon mengambil masa lebih kurang 3 jam sebelum keputusan diumumkan.

Saya dan suami dibawa keluar dari Pusat Penamaan Calon sekitar jam 12.00 dengan kawalan ketat dari Petugas Keselamatan memandangkan keadaan terlalu sesak dengan penyokong Pakatan Rakyat berasak untuk bersalam dengan suami.

Sebelah petangnya, saya dan anak-anak berangkat pulang ke Ipoh kerana esoknya hari persekolahan. Keadaan dilebuhraya terlalu sesak menyebabkan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa sejam tetapi memakan masa hampir 3 jam untuk tiba di rumah.

InsyaAllah dalam masa terdekat saya akan turut bersama suami berkempen di Bukit Gantang dan saya berharap rakyat bijak membuat penilaian dan memilih calon yang dapat membela nasib rakyat Perak khususnya di Bukit Gantang. Saya menyeru kepada semua pengundi-pengundi yang berdaftar di P059 Bukit Gantang yang berada di luar kawasan tersebut agar dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab.

Tuesday, March 24, 2009

Suami Dicalonkan Untuk P059

Sudah hampir sebulan lebih saya tidak berkesempatan untuk meluangkan mase menulis disini memandangkan memakan masa untuk masuk talian telefon dan internet, juga kekangan-kekangan saya dalam mengemas rumah. Mungkin ramai yang ternanti-nanti perkembangan terkini.


Alhamdulillah selepas kami sekeluarga keluar dari kediaman rasmi bulan lepas hingga sekarang saya amat sibuk dengan keadaan rumah baru. Setakat ini hampir 60 peratus siap dikemas. Tak dapat nak menumpukan sepenuh masa dengan mengemas memandangkan banyak program-program yang diatur saya perlu bersama suami terutama menghadiri jemputan kenduri di hujung minggu. Banyak juga berita program-program yang saya hadiri tidak sempat untuk saya cerita dan coretkan di sini.


Semalam telah diumumkan suami akan dicalonkan untuk bertanding di Bukit Gantang. Terkejut dengn berita, saya redha dan terima segala keputusan memandangkan mungkin ini satu ujian dan amanah dari Allah untuk suami dan kami sekeluarga.


Saya terpaksa membahagikan masa dengan sebaiknya untuk sama-sama turun berkempen bersama suami. Keadaan rumah yang masih berselerak terpaksa saya tinggalkan sementara sehingga tamat tempoh waktu berkempen. Anak sulung saya pula sedang sarat menunggu hari.

InsyaAllah saya akan terus menulis perkembangn terkini dan mengharapkan sokongan dan doa dari semua supaya saya dan suami sekeluarga tabah dan kuat dalam mengharungi mehnah perjuangan. Terutama kalam-kalam fitnah dan maki hamun tanpa asas dari musuh-musuh perjuangan Islam.


Saturday, February 21, 2009

Pakatan Rakyat Tetap Kerajaan yang SAH mengikut perlembagaan

Fasal XVI (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak
"Jikalau sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Perhimpunan Undangan itu, kemudian hendaklah ia mempersembahkan letak jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan itu dikecualikan dengan permohonannya Yang Maha Mulia membubarkan Dewan Perhimpunan Undangan itu"

PERKARA XVI (6) INI MEMPERUNTUKKAN :
Menteri Besar HANYA boleh lucut jawatannya melalui 3 cara :
1. Pembubaran DUN
2. Undi tidak percaya dalam sidang DUN
3. Meletak jawatan

Perlantikan Menteri Besar baru adalah tidak sah kerana YAB Dato' Seri Haji Mohammad Nizar masih tidak lucut jawatannya melalui mana-mana antara 3 cara yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Perlembagaan tersebut.

UMNO CEMAR INSTITUSI DIRAJA!
Siapa rosakkan kemuliaan istana?

Jika DUN dibubarkan..tiada kecewa-tiada sanggah-tiada bantah.
UMNO desak istana supaya jangan bubar DUN
UMNO mau jadi kerajaan tanpa pilihanraya
UMNO takut bawa usul undi tidak percaya di sidang DUN
rakyat terkejut- kesal- kecewa

"TERAS Pengupayaan Melayu mengambil pendirian bahawa keputusan untuk tidak membubarkan DUN serta terus membenarkan perampasan kerajaan negeri dengan tidak melalui proses usul undi tidak percaya di sidang DUN adalah 'duluan' (precedent) yang salah dan bakal membawa petaka besar kepada politik negara"
- Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS Pengupayaan Melayu


Tuesday, February 17, 2009

Bertemu Kembali

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Terima kasih diucapkan kepada anda semua kerana masih setia mengunjungi blog ini.

Pertamanya ingin saya mohon maaf kerana lama tidak mengemaskini perkembangan terbaru saya serta seisi keluarga. Seperti yang sedia maklum baru-baru ini telah berlaku perubahan besar dalam kerajaan negeri Perak menyebabkan masa saya banyak tertumpu pada 'suasana' yang berlaku.

Rentetan dari apa yang berlaku di Perak menyebabkan ramai rakyat, keluarga dan sahabat yang tidak putus berkunjung ke kediaman untuk memberi sokongan dan semangat supaya saya kuat dan terus menjadi tulang belakang kepada suami.

Saya akan terus menjalankan kerja-kerja kebajikan setakat yang termampu dan InsyaAllah saya akan terus menulis setelah selesai berpindah dari kediaman rasmi MB.