Saturday, January 31, 2009

Skuad Bolasepak Perak Diraikan


Skuad bolasepak Perak Liga Super dan Liga Perdana diraikan di dalam satu majlis makan malam yang telah diadakan di dewan serbaguna kediaman rasmi menteri besar pada 28 Januari yang lalu.

Saya dan suami serta seluruh warga kediaman mengalu-alukan kedatangan mereka. Saya secara peribadi mengucapkan syabas atas sumbangan mereka kepada sukan di Perak apatah lagi sukan bolasepak menjadi sukan no.1 digemari.

Sejak mengambil alih PAFA dari pengurusan yang lalu, suami telah banyak berusaha menjaga kebajikan pemain termasuk usaha memberi gaji secara bulanan sepertimana pegawai-pegawai kerajaan. Tahun-tahun sebelum ini pemain tidak diberi kebajikan sebaiknya sehingga gaji-gaji mereka tidak diberikan oleh pihak pengurusan dan sehinggakan masalah tersebut dibebankan kepada pengurusan baru. Namun usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah sesi lalu tetap dijalankan.

Semua pemain yang hadir kelihatan gembira dan terharu di atas keprihatinan Pengurusan PAFA yang baru meraikan mereka. Dengan harapan mereka dapat bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh untuk memajukan lagi bolasepak di Perak dan Malaysia seterusnya di peringkat antarabangsa.

Suami turut mengumumkan penurunan harga tiket masuk ke Stadium Ipoh untuk menyaksikan perlawanan bolasepak sebanyak RM 2.

Turut hadir ke majlis jamuan tersebut ialah penaja-penaja dan para wartawan.

Friday, January 30, 2009

Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Perak Meriah

Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Perak yang berlangsung dengan penuh meriah dan dihadiri oleh masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Saya dan suami bersama anak-anak tiba di Padang Ipoh lokasi berlangsungnya program tersebut pada jam 8.30 malam. Sejurus selepas itu ketibaan tetamu VVIP iaitu Paduka Seri Sultan Perak bersama Permaisuri, Raja Muda bersama Raja Puan Besar dan Raja Dihilir bersama Raja Puan Muda.



Perarakan Naga mengiringi ke semua tetamu VVIP ke pentas utama. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah program dan selepas itu suami mengiringi Sultan untuk majlis perasmian dengan memukul gong sebanyak 3 kali. Persembahan bunga api diadakan selama 10 minit dan para hadirin terpegun dengan keindahannya.

Pertunjukan dari berbilang kaum dipersembahkan. Turut bersama adalah pelajar-pelajar sekolah cina dari Pulau Pinang.

Majlis tamat sekitar jam 10.30 malam dengan pertunjukkan tarian naga. Kesesakan lalulintas berlaku disebabkan kehadiran pengunjung yang terlalu ramai.

Wednesday, January 28, 2009

Program Sua Kasih & Minum Petang di Manong

Satu program yang dinamakan Sua Kasih & Minum Petang Bersama Datin Seri Fatimah telah diadakan di Kampung Ketior, Kuala Kangsar anjuran Seketeriat DUN Manong. Saya tidak dapat menghadiri majlis tersebut di atas sebab peribadi yang tidak dapat dielakkan. Saya telah mewakilkan Puan Arbaiiah isteri kepada Exco Pendidikan Y.B Zainuddin untuk menghadiri majlis tersebut. Turut serta Puan Faridah, isteri ADUN Changkat Jong dan Puan Nor Azian isteri bekas calon Parlimen Kuala Kangsar ketika PRU12 iaitu Dr.Khairuddin.

Pembantu Peribadi saya, Puan Hamisah turut bersama dan sempat merakamkan gambar sepanjang program berlangsung.

Antara program yang telah diadakan ialah ziarah ke rumah warga emas yang uzur dan orang kurang upaya. Program Ma'al Hijrah diadakan di perkarangan rumah Ketua Kampung Ketior dan penceramahnya ialah Ustazah Norhasyimah Abdullah.

Sebelum itu Slot gimik kacau Bubur Anak Lebah turut diadakan dan majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran dan ucapan-ucapan.

Penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim turut disempurnakan oleh Puan Arbaiiah. Pelajar-pelajar yang cemerlang di dalam UPSR dan PMR turut menerima hadiah. Manakala sumbangan khas sempena Tahun Baru Cina disampaikan oleh Puan Nor Azian.

Update 3/2/2009
Gambar-gambar program

Sambutan Tahun Baru Cina

Suami bersama pimpinan DAP di Majlis Rumah Terbuka DAP Perak sempena Tahun Baru Cina yang diadakan di Perkarangan Pejabat DAP, Ipoh Raya

Sambutan Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak telah berlangsung di Perkarangan Pejabat DAP di Ipoh Raya, semalam.

Saya dan suami turut meluangkan masa menghadiri majlis tersebut bagi meraikan masyarakat cina yang menyambut Tahun Lembu pada tahun ini. Majlis berjalan dengan meriah dengan kehadiran ramai tetamu dan persembahan tarian naga turut diadakan. Antara pimpinan DAP yang hadir ialah Lim Kit Siang, Lim Guang Eng dan kepimpinan Parti DAP negeri Perak termasuk Pengerusinya Y.B Ngeh Koo Ham.

Majlis bermula pada jam 2.30 petang dan saya turut membawa 2 anak bongsu saya yang teruja untuk melihat Persembahan Tarian Naga. Kebanyakkan tetamu tidak membawa anak-anak mereka kerana mereka lebih gembira bersama sanak saudara yang berkumpul di rumah masing-masing.

Suami turut menyampaikan ucapan di dalam majlis tersebut dan menerangkan ada persamaan antara Raya Cina dan Islam iaitu pada sambutan yang mengikut kepada Kalendar Bulan.

Selesai majlis di Ipoh Raya, suami terus ke Masjid Negeri untuk Solat Gerhana Matahari yang telah dijadualkan sebelum solat Asar.

Jam 9.00 malam saya, suami dan anak-anak pulang ke Kampung Air Itam Labu.

Thursday, January 22, 2009

Ceramah Agama Oleh Dato Dr. Harun Din

Dengan segala hormatnya saya menjemput semua bloggers dan warga Perak ke Kediaman Rasmi Menteri Besar pada 1 Februari 2009 ini untuk kita sama-sama menerima santapan rohani dari ulama' yang hebat dan ulung di tanahair kita iaitu Dato Dr. Harun Din Al-Hafiz. Semoga dengan kehadiran semua akan memberkati lagi majlis ilmu yang bakal dianjurkan nanti.

Monday, January 19, 2009

Pembangunan Wanita Negeri Perak


Pada 10 dan 11 Januari yang lalu satu perjumpaan dan perbincangan bersama pihak 3AMz Consultant telah diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar. Pertemuan ini telah lama dirancang dan ia diatur oleh pihak Dewan Muslimat PAS Negeri yang turut memperkenalkan 3AMz Consultant kepada saya dalam usaha mengatur dan mengkaji Pembangunan Wanita di Negeri Perak.

Pada 10 Januari perjumpaan dan penerangan ringkas telah diadakan di kediaman pada sebelah petang dan keesokan harinya 11 Januari satu usrah telah diadakan di Surau baru kediaman.

Antara tujuan kajian pembangunan ini diadakan ialah untuk mengenalpasti tahap sosioekonomi kehidupan wanita Perak, mengenalpasti jangkaan wanita Perak terhadap pentadbiran baru kerajaan, mengenalpasti kemudahan instrastruktur yang terdapat dan dimanfaatkan, mengenalpasti status kebahagiaan hidup wanita Perak dan mengenalpasti status golongan kurang upaya, ibu tunggal dan anak-anak bermasalah yang terdapat di negeri Perak.

Perancangan ini masih diperingkat permulaan dan kajian terhadap target sedang dilakukan disamping beberapa pelan tindakan sudah diatur dari pelbagai aspek. Pelbagai program jangka pendek dan jangka panjang berada di dalam perancangan untuk pelaksanaanya. Antaranya: motivasi kewanitaan, tingkat ekonomi sejahtera keluarga, skil keibubapaan dan kesihatan anak-anak dan sambutan hari-hari tertentu seperti hari ibu, hari jururawat.

Sunday, January 11, 2009

Bantuan Untuk Rakyat Palestin

Suami melancarkan DANA PALESTIN PERAK
yang mensasarkan kutipan sebanyak RM 1 Juta

Pada hari Jumaat yang lalu satu program yang bernama Malam Solidariti Kemanusiaan Untuk Palestin telah diadakan di Stadium Indera Mulia yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Perak dengan sokongan dari beberapa pertubuhan dan NGO serta parti politik.

Malam tersebut beberapa pidato dan tayangan video kekejaman rejim zionis telah dipertontonkan mendesak agar kita sebagai umat Islam sentiasa senstitif dengan isu Palestin di mana mereka majoritinya adalah umat Islam yang setiap hari disembelih oleh Yahudi Zionis.

Antara yang menyampaikan pidato ialah Cikgu Azmi Presiden Teras, wakil dari Palestin merupakan adik kepada salah seorang pimpinan HAMAS dan kerajaan Palestin. Turut berucap wakil dari JIM dan pimpinan DAP, PAS dan PKR yang berucap menyatakan bantahan terhadap kekejaman Yahudi Zionis.

Pada malam tersebut turut dilancarkan RM1 JUTA UNTUK DANA PALESTIN PERAK yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar sendiri. Itulah yang dapat kita sumbangkan untuk rakyat Palestin dengan menyumbangkan wang bagi membantu mereka selain usaha kita yang lain dengan memboikot barang-barang yang menyumbang kepada Israel dan Amerika.

Kita juga perlu sentiasa kaji dan fahami isu Palestin dengan baik. Anjurkan program dan kempen besar-besaran yang efektif dan praktikal berkenaan Palestin. Sama-sama kita berdoa untuk keselamatan, kemenangan dan keamanan rakyat Palestin.

Kepada yang ingin menyumbangkan wang boleh disalurkan ke number akaun 08013010068281 (Bank Islam) Ipoh (AKAUN DANA PALESTIN PERAK).


Thursday, January 08, 2009

Ziarah Tun Haji Syed Zahiruddin

Ahad lalu saya dan suami menziarahi Dato' Bendahara Perak- Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tun Haji Syed Zahiruddin bin Said Hassan di kediaman anak beliau di Petaling Jaya. Kunjungan kami di sambut oleh Tun dan Toh Puan.

Selepas minum petang kami bertanyakan hal kesihatan Tun dan berita-berita hal ehwal di Perak.

Dato' Bendahara Perak merupakan Orang Besar Empat Perak yang juga Ahli Rasmi Ahli Dewan Negara Perak. Tun Syed Zahir pernah menjadi Yang di-Pertua Negeri Melaka antara tahun 1975-1984.


Tuesday, January 06, 2009

Berkempen di Kuala Terengganu

Kampung Gong Tok Nasek

Ceramah Bersama Masyarakat Cina di Kampung Tiong

Ceramah di Chabang Tiga

Hari Penamaan Calon 6 Januari 2009

2 hari suami berada di Kuala Terengganu pada 5 & 6 Januari 2009. Suami tiba di Kuala Terengganu sehari sebelum penamaan calon untuk Pilihanraya Kecil P036 Kuala Terengganu. Tiba di Terengganu suami terus di bawa ke Rumah Perak di Kuala Ibai yang menjadi pusat petugas-petugas PAS dari negeri Perak.

Suami menceritakan selepas itu beliau di bawa ke rumah petugas pilihanraya untuk mendengar taklimat gerak kerja dan memberi kata-kata semangat untuk mereka. Beberapa buah rumah di Kampung Gong Tok Nasek juga diziarahi selepas satu ceramah bersama para muslimat diadakan di kampung tersebut.

Suami menginap di Homstay di Rusila dan tiba di situ pada jam 5.00 petang. Makan dan terus bersiap ke Kampung Tiong iaitu sebuah kawasan di DUN Bandar yang majoritinya didiami oleh masyarakat Cina. Jam 6.00 petang 5 Januari diadakan Majlis Makan Malam dan ceramah bersama masyarakat cina yang dipengerusikan oleh Y.B Tian Chua. Suami menyampaikan pidato bersama Y.B Anuar Tan (Exco Kerajaan Kelantan) dan Y.B Wahid Endut selaku calon PAS untuk Pilihanraya Kecil kali ini.

Sebelah malamnya program suami di Chabang Tiga iaitu Ceramah Perdana yang turut disampaikan oleh Y.B Mujahid Yusuf Rawa, Y.B Nik Ammar, Y.B Wahid Endut dan beberapa yang lain.

Pada 6 Januari suami turut menyertai pimpinan PAS yang lain dalam majlis penamaan calon. Dianggarkan Lebih 30,000 ribu penyokong PAS pada hari tersebut bersama memberi sokongan kepada calon Pakatan Rakyat. Selesai majlis penamaan calon suami menghadiri mesyuarat di Kuala Ibai sebelum bertolak dari Kuala Terengganu pada jam 4.00 petang melalui Gerik dan tiba di Ipoh tepat jam 11.15 malam.

Sunday, January 04, 2009

Program di Manjung

3 Januari 2008 saya dan suami berada di Manjung menghadiri Majlis Perkahwinan dan program penyampaian bantuan untuk pelajar-pelajar sekolah rendah di Kayan.

Friday, January 02, 2009

Suami Terima Anugerah Kehormat IEM


Pada 27 Disember yang lalu bertempat di Hotel Heritage satu majlis Makan Tengahari telah dianjurkan oleh Institusi Jurutera Malaysia (The Institution Of Engineers Malaysia) IEM. Pada yang sama bermula dari awal pagi mereka telah mengadakan Mesyuarat Tahunan untuk sesi 2008.

Sebelum majlis makan bermula, satu majlis telah diadakan untuk mengumumkan pemberian IEM Honorary Fellow kepada suami. Pemberian anugerah tersebut dari IEM amat bermakna dan suami amat terharu serta berterima kasih.

Sejak tahun 1981, 24 orang telah menerima anugerah tersebut dan suami adalah penerima yang ke-25 bagi tahun 2008. Antara yang pernah menerima anugerah tersebut ialah Allahyarham Tan Sri Dr. Haji Yusoff Ibrahim (Pertama-1981), Late Dr. J.G Daniel, Tun Mahathir (1984), Sultan Azlan (1989), Tun Daim (1998), Pak Lah (2001) dan lain-lain.

Thursday, January 01, 2009

Ceramah Tahun Baru Bersama Cikgu Azmi

Cikgu Azmi menyampaikan ceramahnya

Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah dan Tahun Baru 2009 kepada semua Bloggers dan pengunjung blog ini.

Alhamdulillah, di hari pertama untuk tahun 2009 program ceramah agama bersempena tahun baru telah berjaya diadakan di Dewan Serbaguna Kediaman Rasmi Menteri Besar. Cikgu Azmi selaku penceramah kali ini memberikan pidato yang cukup hebat dan berkesan kepada lebih 600 hadirin yang hadir memenuhi ruang dewan. Lebih ramai dari ceramah kali pertama yang diadakan dahulu dan harapan saya sudah pasti bulan hadapan bertambah ramai pendengar akan hadir.


Pulang ke Kampar dan Tapah
Selesai program saya dan suami bersama anak-anak pulang ke kampung untuk menziarahi ibu dan ibu mertua saya.

Selamat bercuti dan selamat 'menyiapkan' anak-anak kembali ke sekolah.