Saturday, July 26, 2008

Konvensyen PAS Perak kali ke-13


Hari ini 26 Julai 2008 saya telah menemani suami menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen PAS Perak Kali Ke-13 yang diadakan di Dewan Orang Ramai Rapat Setia, Ipoh. Program selama 2 hari yang bermula hari ini telah dirasmikan oleh Presiden PAS Y.B Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.

Dalam masa yang sama, tepat jam 10.00 pagi Dewan Muslimat Parlimen Kuantan hadir seramai 85 orang untuk kunjungan hormat dan ingin mengetahui perkembangan negeri Perak di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Dukacitanya saya dan suami tidak dapat bersama menyambut ketibaan mereka lantaran berada di dalam Konvensyen di Rapat Setia. Majlis tersebut telah diambil alih oleh wakil dari Unit Penerangan Kerajaan Negeri Perak iaitu Encik Faizal. Terima kasih di atas kunjungan mereka yang datang jauh dari negeri Pahang ke negeri Perak.

Tepat jam 12.00 tengahari saya pulang ke kediaman setelah selesai Majlis Perasmian. Saya disambut dengan rengekkan anak-anak yang kelaparan. Hanya mampu berehat seketika sebelum ke dapur bagi menyediakan makan tengahari. Menu yang saya telah masak hari ini ialah lauk kegemaran seisi keluarga- Gulai Ikan Tempoyak dan Ayam Masak Merah. Selain itu saya turut menyediakan menu wajib iaitu sedikit sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

Selepas waktu asar saya dikunjungi oleh sahabat lama suami saya dari Kuala Lumpur bersama isterinya. Banyak cerita-cerita lama menjadi bualan kami sebelum mereka berangkat pulang selepas solat Maghrib.

Tepat jam 8.15, seisi keluarga berkumpul untuk makan malam sebelum saya menyiapkan persiapan suami untuk ke Stadium Mini Manjoi pada jam 9.15 malam bagi menyampaikan Ceramah Perdana bersama Y.B Ustaz Haji Nasharuddin b. Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS Pusat (mengantikan Y.B Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang yang keuzuran) dan Ustaz Haji Ahmad b Awang selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.

Begitulah aktiviti saya sepanjang hari ini. Semoga malam ini hilang segala keletihan selepas mendapat lena dan rehat yang cukup supaya saya cergas untuk menghadapi aktiviti dan program keesokan hari.

Bersama semua pimpinan-pimpinan. Dari kiri Ustaz Hj. Abu Bakar Hussain, Ustaz Hj Ahmad Awang, Y.B Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Y.A.B Dato' Seri Ir Hj. Mohammad Nizar Jamaluddin, Haji Asmuni Awi, saya, Pn. Rosiah dah Ustazah Bariah Alang Sapri


Muslimin dan muslimat serta jemputan- jemputan memenuhi ruang dewan


Menjamu selera selepas Majlis Perasmian. Turut bersama saya di meja makan iaitu Y.B Hee (Timbalan Speaker DUN Perak)

2 comments:

Abang Long said...

Salam hormat wahai Datin Seri.

Masih memasak sendiri untuk famili. Alhamdulillah. Tetapi bagaimana kalau ada rombongan, siapakah yang akan memasak ?

DATIN SERI HAJJAH FATIMAH BINTI TAAT said...

salam abang long,

Alhamdulillah saya masih lagi memasak sendiri. Kalau ada rombongan semua jamuan untuk mereka pengurusan kediaman yang menguruskan dengan menempah makanan dari luar.. tak mampu saya nak masak untuk 100-200 orang..