Tuesday, July 29, 2008

Suamiku pulang awal ...

Saya menunjukkan kepada suami kuarters pekerja yang terdapat di bahagian belakang kediaman

Hari ini suami saya pulang seawal jam 5.15 petang yang membuatkan saya amat terkejut dengan kepulangannya. Semenjak suami menjawat jawatan sebagai Menteri Besar selama hampir 5 bulan, inilah kali pertama beliau pulang awal dari pejabat. Hari-hari biasa sebelum ini suami akan tiba di rumah hampir waktu Maghrib ataupun paling awal sekitar 6.00 petang. Walaupun waktu pejabat tamat jam 5.00 petang, kebiasaannya suami akan berada di pejabat untuk menyiapkan kerja yang berbaki, melayan tetamu dan sebagainya.

Anak-anaklah yang paling ceria apabila terpandang abah mereka pulang awal. Selepas suami solat asar, anak-anak bersungguh mengajak abah mereka bermain bersama di luar rumah. Kebetulan pula permintaan dari suami untuk melawat keseluruhan kawasan kediaman yang belum pernah beliau tinjau dan ziarah sebelum ini disebabkan kekangan masa yang begitu sempit. Selama ini suami hanya sempat meninjau di kawasan halaman hadapan rumah dan pada hari ini beliau berkesempatan melihat ke semua kawasan.

Sesungguhnya hari ini hati saya amat lapang dan gembira kerana sudah lama saya dan anak-anak tidak berpeluang bersama beliau bersiar-siar. Jenuhlah hari ini saya menjadi 'tourist guide' pada suami menerangkan apa yang terdapat di dalam kawasan kediaman.

Di kawasan belakang rumah, terdapat rumah pekerja dan bersebelahannya penuh dengan tanaman-tanaman seperti nenas, buah naga, buah mangga serta sayur-sayuran. Memandangkan buah mangga sedang menguning di atas pokok, anak-anak ghairah memanjat dan mengait. Banyak juga hasil yang dapat pada petang ini. Saya suami dan anak-anak lama bersantai dan berbual mengenai bagaimana keadaan kebun dan dusun di kampung.

Lebih kurang jam 7.00 petang kami masuk ke dalam rumah dan terus bersiap untuk solat Maghrib berjemaah. Malam ini saya dan suami perlu menghadiri program di Dataran DBI Ipoh.

Anak-anak ceria memanjat pokok mangga

Mangga yang telah dipetik

Bersantai dan berbual di halaman belakang kediaman

No comments: