Friday, October 17, 2008

Jamuan Aidilfitri Staf Kediaman & Program di Hotel Syuen

Pagi tadi staf-staf di kediaman Menteri Besar telah mengadakan jamuan aidilfitri. Saya dan anak-anak turut bersama meraikan mereka. Setelah bertahun-tahun mereka bertugas di kediaman, inilah kali pertama mereka mengadakan jamuan Aidilfitri sesama mereka kerana kebiasaannya setiap tahun mereka 'dikerah' bekerja pada hari raya pertama untuk jamuan Aidilfitri Menteri Besar dan jamuan tersebut menjadi jamuan Aidilfitri mereka.

Namun pada tahun ini, semua staf di kediaman amat gembira kerana kali pertama mereka dibenarkan bercuti pada hari raya pertama dan semuanya dapat pulang ke kampung halaman untuk berhari raya. 2 hari menjelang Aidilfitri baru-baru ini, seorang isteri staf kediaman datang berjumpa saya dan menangis kerana terlalu gembira suaminya pada tahun ini dapat pulang bersama ke kampung halaman untuk berhari raya.

Pagi tadi mereka berpakat membawa juadah masing-masing dari rumah untuk mengadakan sedikit jamuan. Antara menu yang dihidangkan Bihun Sup, Mee Goreng, Keropok Lekor, Lemang & Rendang, Nasi Impit Kuah Kacang, Kuih Muih, Puding & Agar-Agar dan lain-lain.

Selepas solat Jumaat saya menyiapkan makan malam untuk anak-anak. Selepas solat Maghrib saya terus bersiap kerana perlu mengiringi suami ke Hotel Syuen menghadiri Majlis Makan Malam dan Ceramah ' Perak Lectures The Malaysian Dilemma '. Sepatutnya majlis ini dihadiri oleh Paduka Seri Sultan Perak namun disebabkan masalah kesihatan baginda tidak dapat bersama.

Majlis berakhir lewat malam dan anak-anak semuanya sudah tidur ketika saya tiba di kediaman.

Jamuan Aidilfri bersama staf-staf kediaman rasmi MB


Program di Hotel Syuen

1 comment:

cekputeh said...

Assalamualaikum Datin Seri..

Seronok baca blog Datin, hmm..pastinya byk pengalaman baru yg dikutip.

InsyaAllah berkat keikhlasan segalanya kerana Allah segala dugaan dpt di lalui dengan tenang...all the best ya!

Anak Perak - kawasan Pasir Panjang Laut