Monday, August 25, 2008

Aktiviti seminggu

Cukup seminggu saya tidak dapat meluangkan masa untuk menulis di blog ini. Dalam tempoh seminggu ini juga saya sibuk dengan pelbagai aktiviti di samping meluangkan lebih masa bersama keluarga memandangkan anak-anak semua bercuti persekolahan selama seminggu.

Walaupun anak-anak bercuti mereka sibuk dengan aktiviti sekolah dan kelas tambahan kerana 2 orang anak saya akan menghadapi PMR dan UPSR pada tahun ini. Cuti kali ini saya dan suami tidak berkesempatan membawa mereka bersiar-siar seperti cuti-cuti sebelum ini. Anak-anak ada meminta untuk pulang bermalam di kampung namun saya hanya sempat membawa mereka pulang seharian sahaja.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah saya ikuti sepanjang minggu ini ialah pada 20/8 pulang ke Tapah sepanjang hari bersama anak-anak kecuali suami yang bekerja pada hari tersebut. Pada 21/8 saya meluangkan masa selama 3 jam bersama seorang wartawan akhbar Sinar Harian yang hadir ke kediaman rasmi untuk menemubual saya dan anak-anak.

Keesokan harinya iaitu pada 22/8 saya telah menziarahi isteri YB Jamaluddin Mohd Radzi di Kuala Pari bersama Puan Arbaiiah isteri kepada exco kerajaan negeri iaitu YB Zainuddin untuk memberi sokongan dan semangat menghadapi fitnah yang telah menimpa suaminya. Semoga mereka dalam lindungan Allah dan bersabar di atas ujian yang menimpa.

Pada sebelah malamnya, saya bertolak ke Batu Gajah menghadiri Pertunjukan Fesyen Busana Muslim yang dianjurkan oleh JAMA'IY manakala suami menghadiri program bersama Persatuan Majikan-majikan di Hotel Casuarina Ipoh. Saya tiba di kediaman pada jam 12.00 malam.


23/8 iaitu pada hari Sabtu saya dan suami berpeluang bersama anak-anak sehingga jam 12.00 tengahari sebelum bersedia menyambut Konvoi Merdeka Persatuan Wartawan Malaysia. Majlis meraikan mereka diadakan di Dewan Kediaman Rasmi. Di dalam jadual mereka sepatutnya tiba pada jam 12.00 tengahari namun disebabkan berlaku kemalangan, konvoi lewat tiba pada jam 2.30 petang. Di dalam majlis tersebut wakil daripada pihak Persatuan Wartawan telah menyampaikan sedikit ucapan disusuli dengan ucapan Menteri Besar. Mereka bergerak pulang pada jam 4.30 petang selepas jamuan makan.

Jam 5.00 petang selepas solat asar saya bersama suami dan anak-anak telah menghadiri Jamuan Meraikan Petugas-petugas Muktamar PAS Ke-54 di kediaman Pengarah Muktamar iaitu Tuan Haji Asmuni Awi. Jam 7.15 petang saya tiba di kediaman seterusnya menyambut kunjungan Saudara Muhaimin Haji Sulam bersama keluarganya. Setelah solat Maghrib saya dan suami bergegas untuk menghadiri Majlis Makan Malam anjuran Institute Of Engineers Malaysia Cawangan Perak di Ipoh Royal Club. Saya hanya sempat meluangkan masa seketika bersama Saudara Muhaimin sekeluarga dan anak sulung mengantikan saya melayan tetamu. Saudara Muhaimin Sulam pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak dan kini beliau sedang menyambung pelajarannya peringkat Doktor Falsafah di Universiti Lampeter, Wales.

Pada hari Ahad 24/8 saya dan suami memenuhi undangan Majlis Kenduri Kesyukuran dan Kenduri Perkahwinan. Jam 12.30 tengahari saya menghadiri kenduri kesyukuran di rumah Wan Junaidi selaku Setiausaha Sulit Menteri Besar. Kemudian menghadiri kenduri Perkahwinan anak kepada YB Dato' Hj Ahamad b. Pakeh Adam (ADUN Lintang). Setelah itu saya dan suami menghadiri kenduri perkahwinan anak kepada Ustaz Abu Bakar Hussein iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak.

Selepas menghadiri semua majlis saya berehat di rumah manakala suami meluangkan masa di Ampang Superbowls, Ipoh Parade menyertai Pertandingan Bowling Antara Daerah Sempena Sambutan Keputeraan DYMM Tuanku. Anak-anak turut menemani suami di Ipoh Parade. Majlis penyampaian hadiah dan jamuan diadakan setelah tamat pertandingan di Dewan Kediaman Rasmi.

Isnin 25/8 saya meluangkan masa membeli keperluan-keperluan rumah.

Begitulah catatan aktiviti saya untuk sepanjang minggu ini.


Di Arena Square, Batu Gajah ketika Majlis Pertunjukan Fesyen
Eksposisi Gaya Hidup Muslim Mengelilingi Perak anjuran JAMA'IY

Konvoi Merdeka oleh Persatuan Wartawan Malaysia
tiba di Kediaman Rasmi pada 23 Ogos 2008 (Sabtu)

Bergambar di rumah Tuan Haji Asmuni Awi ketika menghadiri
Jamuan Meraikan Petugas-petugas Muktamar PAS ke-54

Suami menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam
Institusi Jurutera Malaysia Cawangan Perak


No comments: