Saturday, August 30, 2008

Sambutan Ambang Merdeka ke-51

MB memberi Amanat Kemerdekaan
di Majlis Sambutan Ambang Merdeka ke-51 Peringkat Negeri Perak

Ketika menulis entry ini saya baru sahaja pulang menghadiri majlis Sambutan Ambang Merdeka ke-51 yang telah diadakan dataran Stadium Indera Mulia. Di dalam aturcara pelbagai persembahan telah dijalankan sebelum ketibaan saya dan suami di tempat program. Istimewanya terdapat persembahan kebudayaan orang Asli memeriahkan majlis pada tahun ini disamping persembahan dari kaum Melayu, India dan Cina. Sebelum itu majlis telah dimulakan dengan Bicara Merdeka yang disampaikan oleh Ustaz Ridzuan Tea. Pihak penganjur turut mengundang artis Salima Af4, Kumpulan Flava dan Jamal Abdillah.

Saya dan suami tiba di tempat program pada jam 11.00 malam. Jalan di sekitar tempat program sesak dan pasukan polis yang memberi kerjasama yang baik memudahkan perjalanan saya dan suami dari kediaman ke stadium. Persembahan Nasyid oleh kumpulan Mirwana diadakan sehingga jam 11.20 malam. Kemudian semua tetamu kehormat bergerak ke pentas utama untuk majlis penyerahan jalur gemilang dan menantikan detik 12 malam untuk laungan merdeka.

Dalam masa 30 minit berada di pentas utama sebelum masuk 31 Ogos, suami telah diberi peluang memberi amanat kemerdekaan dihadapan ribuan rakyat yang hadir dari pelbagai golongan. Di dalam ucapan suami yang bersemangat, beliau mengesa agar rakyat memahami erti kemerdekaan sebenar agar bebas dari kezaliman, minda yang dikurung dan pelbagai masalah sosial yang ada. Kerajaan Pakatan rakyat akan terus mentadbir kerajaan negeri Perak dan suami memohon maaf atas kekurangan yang ada sepanjang hampir setengah tahun mentadbir kerajaan Perak yang disayangi semua.
Suami juga mengajak semua rakyat Perak mengenangkan anak-anak Perak yang hebat berjuang demi kemerdekaan negara seperti Dato Burhanuddin Helmi, Zulkifli Ahmad, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir dan lain-lain. Semoga semangat mereka dicontohi oleh anak-anak Perak di era ini.

Tepat jam 12.00 malam, laungan kemerdekaan bergema. Lagu Negaraku dinyanyikan dengan jalur gemilang dinaikkan. Pertunjukan bunga api selama hampir 7 minit dan lagu Perpaduan Teras Kejayaan, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang dinyanyikan bersama.
Program tamat jam 12.20 malam.

No comments: