Tulisan : Kusyi Hirdan (www.jendelaku.com)
Artikel ini pernah diterbitkan di dalam Majalah Jelita Keluaran Julai 2008
Semua ini tidak diduga atau menjadi angan-angannya. Isteri Menteri Besar? Tetapi itulah hakikatnya sekarang. Bukan hanya dia, seluruh keluarga, anak-anaknya bagai tidak percaya.
"Mula-mula memang terkejut dan cemas pun ada tetapi akhirnya saya reda kerana ini ketentuan Allah. Sebagai isteri saya tahu, suami layak menduduki kerusi itu kerana kewibawaan, kebolehan dan kemampuannya," ujar Datin Seri Fatimah, 45.
Mudah sekali cara kami memasuki kediaman rasmi Menteri Besar Perak yang tersergam di Jalan Tambun, Ipoh. Dari luar landskap nan hijau kemas dan teratur menyejukkan mata memandang. Penulis dan jurugambar sengaja datang 30 minit lebih awal, untuk serasikan diri dan mencari sudut menarik bagi sesi fotografi.
Di tingkat bawah (saya difahamkan keluarga itu tinggal di tingkat atas) ada ruang menunggu yang luas memanjang. Ada dua set lengkap perabot di kiri dan kanan pintu masuk. Kami disuruh duduk di sebelah kiri oleh yang menyambut. Maka menunggulah kami penuh debar sambil mata melilau sekeliling.
Kosong. Itulah kata hati saya yang pertama. Selain permaidani, ada beberapa almari yang yang hanya menempatkan beberapa pinggan mangkuk. Jika mengharapkan kilauan kristal, bonzai, bingkai gambar besar keemasan atau pun 'chandelier' bergantungan menghiasi ruang itu memang jauh sekali.
Mungkin belum sempat menghias dan membeli, fikir penulis. Tambahan baru beberapa bulan sahaja keluarga Menteri Besar itu berpindah ke situ. Tepat jam 10, anak sulung Menteri Besar, Faatihah 24, turun memperkenalkan diri. Lembut turut katanya. Tidak lama selepas itu, muncul emaknya.
Fatimah lemah lembut dari segi bicara dan sikap. Senyuman tidak lekang dari bibirnya dan ini menambah lagi seri wajahnya. Bertudung senada kurung ungu, ibu lapan anak ini bertubuh kecil. Tidak ada penasihat gaya menemaninya, hanya Faatihah yang sesekali membetulkan tudung emaknya.
"Kosong saja di sini," saya merujuk keadaan dalaman rumah rasmi itu.
"Biarlah sederhana begini, tidak perlu apa-apa tambahan lagi, kami sudah cukup selesa dan puas hati," jawabnya tegas.
"Kami mahu ala kadar, cukup apa yang ada. Daripada membazir duit, lebih baik duit itu digunakan untuk rakyat."
Sambil bersembang, anak bongsunya yang comel, Faakhirah, 4, asyik berkeliling. Faakhirah masih menyusu badan membuatkan dia menjadi pengikut setia ibunya ke mana-mana saja.
"Semua anak menyusu badan dan kesannya saya dapat lihat sendiri, mereka begitu rapat dengan saya dan sesama adik-beradik lain. Mereka juga mendengar kata. Faakhirah ini lahir pada 2004, betul-betul ketika suami bertanding di Parlimen Kuala Kangsar menentang Rafidah Aziz dahulu," kenang anak Imam Masjid Tapah ini.
Mendapat pendidikan awal di Tapah dan pernah berkerja seketika di syarikat swasta sebelum berhenti untuk memberi sepenuh tumpuan kepada rumahtangga pada 1983. Hasil perkongsian hidup dengan Dato' Seri Ir. Hj Nizar, 51, mereka dikurniai lapan cahaya mata.
Faatihah lulusan B.A Universiti Mu'tah, Jordan (Undang-undang Syariah), Mohd Syaheed, 21, sedang menuntut dan mengambil bidang sama dengan kakaknya. Mohd Syaakirin, 19, pula sedang membuat dua sarjana muda sekaligus di Maahad Furqah, Syria dan Universiti Imam Auza'i (Undang-undang Syariah), Mohd Syadeed,15, Tingkatan 3, Mohd Syawwal, 12 tahun, tahun enam, Mohd Syamil, 9, tahun tiga, Faakihah, 8, tahun 2, Faakhirah, 4. Mohd Syaheed, Mohd Syaakirin, masing-masing merupakan hafiz Al-Quran.
Keadaan Berubah
Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar yang tiba-tiba dikenali membuatkan Fatimah dan keluarga di suluh semangat ingin tahu khalayak terhadap mereka. Apatah lagi kontroversi hebat dalam masa menentukan calon yang sesuai membuatkan apa-apa saja mengenai Mohammad Nizar mahu dikorek, termasuk keluarganya. Bagaimana perasaan anak kelahiran Tapah ini?
"Perasaan awal memanglah malu juga, belum biasa berhadapan dengan ramai orang. Tetapi rasa takut itu cuba saya atasi dan mengawal diri. Alhamdulillah, dengan adanya Kak Yong (Faatihah) di sisi, saya dapat kekuatan dan keberanian. Dia peneman dan memberi semangat. Anak-anak saya yang diluar negara, Syria dan Jordan juga turut menelefon menyuruh saya sentiasa kukuh dan menyokong kuat di belakang abah mereka."
Fatimah mengakui, dulu dan sekarang jauh berbeza. Suaminya seorang Menteri Besar yang mempunyai banyak tugas rasmi. Dia jugak tidak lama lagi akan mempunyai jadual sendiri seperti jemputan perasmian persatuan wanita dan kebajikan di samping menjadi pengiring suami. Anak-anak juga dipesan, pandai-pandailah menjaga dan membawa diri mereka kini sudah menjadi perhatian orang.
"Kami perlu memahami keadaan perubahan suami yang tidak sama seperti dahulu. Namun walau apa dan sesiapapun dia, cara hidup tidak berubah, masih seperti dahulu dan penuh kesederhanaan. Sikap saya beginilah, sama seperti dahulu. Senang didekati, mudah mesra dan peramah. Apa gunanya menyombong diri," kata penggemar asam pedas ini.
Sewaktu Mohammad Nizar sekadar ahli politik biasa, Fatimah tidak begitu perlu membabitkan diri atau perlu mengikut suami. Kini dia perlu membiasakan diri membuat ucapan di khalayak.
"Ucapan pertama memang gementar sangat. Muslimat PAS datang melawat dan itu kali pertama saya membuat ucapan di khalayak. Namun segalanya terkawal dan berjalan dengan baik. InsyaAllah, pengalaman akan membuatkan kita bertambah baik."
Seperti suaminya yang mahu memakmurkan negeri, Fatimah juga ada azamnya sendiri. Dia ingin berdamping dan mendekati wanita. Tidak kira bangsa, agama mahupun parti. Mahu memberi mereka semangat dan dorongan. Wanita boleh menyertai persatuan, pertubuhan dan berjaya dalam kerjaya tetapi paling penting adalah rumahtangga, itu nombor satu.
"Jangan tinggalkan kewajipan menyiapkan anak-anak dan suami kerana itu sangat penting. Ibu dan isteri harus lakukan sendiri. Tidak boleh hanya mengharapkan pembantu. Sekarang saya ada pembantu seorang tetapi saya buat tugas itu bersama. Pelajaran anak-anak memang wajib dipantau dan diambil tahu walau kita sibuk. Wanita yang berjaya harus pandai membahagi masa,"
Mengakui kesibukkan mungkin menjadi rutinya kini, Fatimah mahu memastikan dirinya cemerlang sebagai isteri dan ibu. Kegemaran mengemas rumah dan memasak akan terus dilakukan. Kata Faatihah air tangan ibunya enak terutama ketika memasak gulai lemak cendawan dan masak tempoyak.
"Memang setiap hari sentiasa sibuk tetapi saya suka membaca. Saya akan cari sejam dua untuk membaca akhbar dan majalah. Ini akan meluaskan minda," katanya mengakhiri perbualan dan berharap pertemuan itu bukan yang terakhir.
Semoga hasrat dan azam Fatimah untuk berdamping dengan masyarakat terlaksana.
(Dipetik dari Majalah Jelita Keluaran Julai 2008 m/s 26-28)