Saturday, November 15, 2008

Menziarahi balu kepada Allahyarham Ustaz Khairuddin Mohamed Isa

Bersama Puan Narjis di rumah beliau

Semalam saya bersama pembantu peribadi telah menziarahi balu kepada Allahyarham Ustaz Khairuddin Mohamed Isa di Halaman Meru Permai, Bandar Meru Raya yang meninggal dunia beberapa hari lalu akibat ditetak oleh perompak ketika sedang bekerja di Stesyen Minyak Petronas, Gunung Lang, Jalan Kuala Kangsar, Ipoh.

Turut bersama saya ke rumah balu Allahyarham Ust Khairuddin beberapa orang Ajk Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Perak. Setibanya kami di sana, kami disambut oleh isteri arwah Puan Narjis serta saudara mara yang lain.

Saya dimaklumkan bahawa sebelum itu, rombongan daripada Pejabat Agama Islam Perak juga telah menziarahi beliau sekeluarga. Saya amat terharu dan sedih melihat dan mengenangkan keadaan keluarga yang hilang tempat pergantungan akibat perbuatan manusia yang tidak berhati perut.

Saya dan rombongan hanya dapat menolong sekadar yang termampu dan mendoakan agar mereka sekeluarga tabah menghadapi ujian dan takdir yang telah ditentukan.

Saya amat berharap penjenayah yang bertanggungjawab di atas kes pembunuhan ini dapat ditangkap secepat mungkin dan menerima hukuman yang setimpal di atas perlakuan mereka.


1 comment:

M Rajoli Al-Qlantani said...

Takziah kepada keluarga Allahyarham