Wednesday, October 08, 2008

Minggu pertama Syawwal

Hari ini sudah 8 Syawwal dan suasana hari raya di Malaysia masih terasa dengan program-program rumah terbuka banyak dianjurkan. Sepanjang minggu pertama Syawwal saya dan suami turut menghadiri jemputan rumah-rumah terbuka Aidilfitri yang telah dianjurkan di samping program-program lain yang telah dijadualkan.

2 Syawwal yang lalu saya sekeluarga telah pulang ke Kampung Air Itam Labu untuk menghadiri Perhimpunan Aidilfitri Keluarga Jamaluddin yang diadakan di rumah emak mertua. Kami sekeluarga sempat menziarahi pusara Jamaluddin iaitu bapa mertua saya yang telah kembali ke rahmatullah pada 1 Ramadhan 1399.

Perhimpunan Aidilfitri Keluarga Jamaluddin berjalan dengan meriah. 11 keluarga daripada 13 keluarga adik beradik suami pulang untuk beraya di Kampung Air Itam Labu. Majlis tahlil diadakan untuk arwah bapa dan abang sulung suami. Selepas itu semua adik beradik, anak-beranak keluarga Jamaluddin berjumlah lebih 100 orang mengambil kesempatan memohon kemaafan dan bersalaman di bulan Syawwal yang mulia ini.

Hari raya ke-3 seawal pagi anak menantu pulang beraya di Parit Buntar dan Kedah. Mereka berdua pulang ke Ipoh pada petang hari Isnin. Hari raya ke 4 dan ke-5 saya dan suami telah menghadiri beberapa undangan majlis perkahwinan dan rumah terbuka Aidilfitri di Kampung Gajah dan di Tapah yang telah berlangsung dalam keadaan yang amat meriah.

Jadual suami juga mulai sibuk di pejabat dan terdapat beberapa program perlu saya ikuti bersama suami. Pagi hari Selasa saya menemani suami untuk Majlis Perasmian Blok Baru Ipoh Specialist Hospital. Tengahari tersebut juga diadakan Pengambaran Audio Visual Penggalakkan Pelaburan Negeri Perak di Pejabat Menteri Besar. Pada jam 3.00 petang, suami mengadap DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan di sebelah malamnya pula suami meraikan 35 orang Imam-imam dari negara China di Dewan Kediaman Rasmi.

Minggu ini pelbagai lagi program yang telah dijadualkan dan insyaAllah dengan kesempatan masa yang ada saya akan berkongsi bersama pembaca sekalian.

Bergambar bersama anak menantu di Kampung Air Itam Labu pada 2 Syawwal ketika Majlis Perhimpunan Aidilfitri Keluarga Jamaluddin

Rumah Terbuka Aidilfitri di Kampung Gajah

Rumah Terbuka Aidilfitri di Batu 3, Temoh

1 comment:

Che Ahmad said...

Gambo2 kat air hitam dah ade datin seri. Boleh tgk kat blog Li:

http://cheahmad.blogspot.com/2008/10/aidilfitri-pics.html