Thursday, October 09, 2008

Suami tidak cukup rehat

Dalam perjalanan pulang dari Seri Iskandar, suami mengadu pening kepala mungkin dari kurang tidur dan berhadapan dengan jadual yang padat. Namun demi amanah dan tanggungjawab yang dipikul suami tidak pernah berkira dan mengeluh dengan keadaan yang sedang dihadapinya. Saya hanya mampu memberi sokongan dan terus menyokong selagi terdaya.

Semalam suami tiba lewat jam 3.00 pagi dari Sanglang Perlis setelah menghadiri majlis ceramah yang dianjurkan untuk Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Sanglang dan sempena kemenangan DUN Sanglang kepada Ust Hashim Jasin mewakili Parti Islam SeMalaysia.

Seawal jam 8.00 pagi suami bergerak ke Pejabat Menteri Besar dan pagi tadi beliau menerima kunjung hormat daripada Pertubuhan Silat Cekak dan menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Pertanian.

Program saya dengan suami bermula pada jam 3.50 petang iaitu dengan menghadiri Majlis Jamuan Teh DiRaja Sempena Sambutan Hari Pahlawan ke-48 di Dewan Bankuet SUK bersama DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan DYMM Raja Permaisuri.

Sebelum itu, terlebih dahulu saya telah menghadiri Majlis Pertemuan isteri-isteri ADUN Pakatan Rakyat yang diadakan di Hotel Syuen. Majlis tersebut diadakan adalah untuk bersuai kenal dan membincangkan beberapa perkara termasuk untuk menubuhkan persatuan di kalangan isteri-isteri ADUN Pakatan Rakyat.

Dari Dewan Bankuet saya dan suami terus bergegas ke Felcra Nasarudin di Seri Iskandar untuk melihat mangsa ribut. Kami tiba hampir waktu Maghrib dan setelah solat Maghrib berjemaah suami menyampaikan Tazkirah. Ribut yang melanda perkampungan tersebut amat dahsyat namun tiada kemalangan jiwa berlaku. Menurut seorang penduduk yang berbual dengan saya, beliau menyaksikan puting beliung berlaku di hadapan matanya menerbangkan bumbung-bumbung masjid dan sekolah serta rumah-rumah berhampiran. Ramai dikalangan pelajar-pelajar sekolah yang menyaksikan kejadian itu masih dalam keadaan terkejut.

Tiba di rumah jam 9.15 malam, Pegawai Khas suami memaklumkan abang ipar iaitu Abd Rahman yang menetap di Kampar di masukkan ke Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh. Belum sempat berehat, suami terus bergegas ke hospital untuk menziarahi abangnya.

Ketika saya menulis entry ini suami belum pulang dan saya sentiasa mendoakan semoga beliau diberi kekuatan dan kesihatan yang baik dalam menjalankan tugas dan kewajipannya.

2 comments:

lan said...

ternyata YB Nizar seorang yang penuh dedikasi dalam kerjanya sebagai seorang MB.Tidak terbayang kesibukannya, tetapi saya fikir itulah amanah yang harus dipikul demi rakyat dan agama

DATIN SERI HAJJAH FATIMAH BINTI TAAT said...

salam

lan,
saya mengharapkan doa dari semua rakyat agar Allah memberikan kesihatan yang baik kepada MB, dapat memimpin negeri Perak dengan baik dan semoga beliau tabah menghadapi segala ujian dan dugaan dalam menjalankan amanah sebagai Ketua Kerajaan Negeri Perak